Gambar fail menunjukkan pakar dari Palang Merah memberikan penerangan kepada komuniti Rohingya mengenai taufan dan Covid-19. - FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan pakar dari Palang Merah memberikan penerangan kepada komuniti Rohingya mengenai taufan dan Covid-19. - FOTO AFP
AFP

Cox's Bazar, Bangladesh: Bangladesh meneruskan penempatan semula pelarian Rohingya ke pulau Bhashan Char, walaupun berdepan kritikan daripada beberapa kumpulan dan terdapat dakwaan mereka dipindahkan secara paksa.

Hampir 20,000 Rohingya sudah dihantar ke pulau berkenaan.

Bangladesh merancang untuk memindahkan 100,000 daripada kira-kira sejuta pelarian Rohingya ke pulau berkenaan, bagi memberi ruang lebih selesa berbanding kem yang sesak.

Namun, ratusan daripada etnik berkenaan ditahan selepas cuba melarikan diri dan puluhan lagi mati Ogos lalu selepas bot yang membawa mereka karam.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Moozzem Hossain berkata, 2,000 pelarian lagi tetap akan dihantar ke pulau berkenaan minggu ini, selepas lebih enam bulan sejak kumpulan terakhir dihantar ke sana.

"Kapal tentera akan menghantar mereka ke pulau itu esok," katanya.

Hossain berkata, penempatan semula itu dilakukan secara sukarela, namun terdapat dakwaan bahawa pelarian dipaksa untuk berpindah.

"Kami tidak mahu ke Bhashan Char. Seorang ketua di sana memasukkan nama saya tanpa pengetahuan saya.

"Jika saya ke sana, saya tidak boleh pulang semula ke Myanmar," katanya yang enggan dikenali.

Seorang pemimpin penduduk di pulau itu yang enggan dikenali berkata, pihak berkuasa Bangladesh meminta dia dan rakan-rakan memberikan senarai nama sekurang-kurangnya lima ahli keluarga untuk ditempatkan di pulau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:20 PM