GAMBAR yang diambil pada 31 Disember 2019 menyaksikan seekor kanggaroo cuba menyelamatkan diri berhampiran kawasan kediaman di bandar Nowra, New South Wales.
GAMBAR yang diambil pada 31 Disember 2019 menyaksikan seekor kanggaroo cuba menyelamatkan diri berhampiran kawasan kediaman di bandar Nowra, New South Wales.
Agensi

SYDNEY: Kasih sayang melangkaui segalanya apabila pengarah dan kakitangan Taman Hidupan Liar Mogo sanggup menyelamatkan haiwan ke rumah mereka susulan kebakaran di sebuah bandar di selatan Australia.

Sebanyak 200 haiwan antaranya panda merah, orang utan, monyet dan harimau berjaya diselamatkan sehingga Rabu lalu malah, rumah kakitangan zoo juga ditukar menjadi sebuah ‘pusat pelarian’ hidupan liar.

The Washington Post melaporkan, Pengarah Taman Hidupan Liar Mogo, Chad Staples berkata, bilik di rumahnya kini dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk menempatkan haiwan yang sudah diselamatkan.

“Kini rumah saya menempatkan pelbagai jenis haiwan dalam beberapa bilik berbeza. Semua haiwan berkenaan selamat dan dilindungi.

“Manakala kakitangan lain pula menggunakan bahagian belakang rumah masing-masing untuk menempatkan harimau,” katanya.

ANGGOTA bomba  memadamkan kebakaran yang  semakin membimbangkan pada malam sambutan Tahun Baru 2020. - Agensi
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang semakin membimbangkan pada malam sambutan Tahun Baru 2020. - Agensi

Staples berkata, beliau dan kakitangannya mula merangka pelan bagi menyelamatkan haiwan di zoo berkenaan sejak minggu lalu kerana khuatir kebakaran menjadi semakin kritikal.

Bagaimanapun, zirafah, kuda belang dan badak sumbu tidak dapat dipindahkan namun, kakitangan zoo sudah menempatkan haiwan bersaiz besar itu di lokasi yang selamat.

Akibat kebakaran yang berlaku sejak awal minggu ini, langit di selatan Australia bertukar gelap dan berjerebu sehingga menyebabkan pelbagai aktiviti masyarakat setempat tergendala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:01 AM