CARRIE Lam (kanan) bakal digantikan dengan seorang ketua eksekutif 'interim'. FOTO AFP
CARRIE Lam (kanan) bakal digantikan dengan seorang ketua eksekutif 'interim'. FOTO AFP
Reuters

BEIJING: China merangka perancangan untuk menggantikan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam dengan seorang ketua eksekutif 'interim'.

Perancangan itu bakal menamatkan kepimpinan Lam susulan bantahan ganas prodemokrasi yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu di Hong Kong.

Sumber memberitahu Financial Times, China mahu keadaan di Hong Kong stabil sebelum membuat keputusan terakhir kerana enggan mahu dilihat menyerah kalah terhadap keganasan itu.

Sekiranya Presiden China, Xi Jinping mahu meneruskan keputusan itu, pengganti Lam akan dilantik menjelang Mac tahun depan untuk menghabiskan penggal pemimpin terbabit yang akan tamat pada 2022.

Antara calonnya termasuk bekas Ketua Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong, Norman Chan dan bekas Setiausaha Kewangan dan Ketua Setiausaha Pentadbiran Henry Tang.

Pada September lalu, Lam dalam satu kenyataan berkata tidak pernah meminta kerajaan China untuk membenarkan dia meletakkan jawatan bagi menamatkan krisis di Hong Kong.

Lam mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan yang bimbang Beijing semakin meluaskan pengaruhnya ke atas bandaraya itu dengan mengehadkan kebebasan yang dinikmati penduduk di bawah 'satu negara, dua sistem'.

Sejak pertengahan Jun lalu, ratusan ribu penduduk membuat bantahan terhadap rang undang-undang yang kini ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:46 AM