ALEXANDER ditemui  beberapa ekor anjing milik pemburu di wilayah Tuva, berhampiran sempadan Mongolia, Russia. FOTO Agensi
ALEXANDER ditemui beberapa ekor anjing milik pemburu di wilayah Tuva, berhampiran sempadan Mongolia, Russia. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Seorang lelaki ditemui dalam keadaan kurus kering dan hampir mati di dalam sarang beruang selepas dia diserang haiwan ganas berkenaan sebelum ‘disimpan’ selama sebulan untuk dimakan.

Mail Online melaporkan, lelaki itu yang dikenali sebagai Alexander ditemui oleh beberapa ekor anjing milik pemburu di wilayah Tuva, berhampiran sempadan Mongolia.

Pada mulanya kumpulan pemburu itu menyangka mereka menemui mayat manusia tetapi terkejut apabila melihat mangsa masih hidup.

Dalam satu video menunjukkan muka dan badan Alexander dipenuhi darah dan lumpur kering, kulitnya pucat seperti mayat serta matanya yang hampir tidak boleh dibuka.

Seorang pegawai perubatan kemudiannya bertanya nama lelaki itu dan dia membuka sedikit matanya dan berkata: “Alexander.”

Doktor berkata, lelaki itu boleh menggerakkan tangan, membuka mata dan bercakap tetapi tidak boleh berdiri kerana tulang belakangnya cedera.

Alexander memberitahu doktor dia diserang beruang kira-kira sebulan lalu.

Beruang coklat diketahui suka menimbus haiwan buruan yang dibunuhnya dan kadang kala membiarkannya mereput selama beberapa hari atau minggu sebelum memakannya.

Pakar dari Akademi Sains Russia, Ivan Va Seryodkin berkata, beruang menyembunyikan haiwan buruannya bagi membiarkan ia mereput supaya mudah dimakan dan dihadamkan.

Alexander memberitahu, dia meminum air kencingnya untuk terus hidup dan sentiasa berada dalam ketakutan beruang itu kembali untuk memakannya.

Doktor berkata, ia satu keajaiban Alexander tidak dibunuh beruang itu dan mengakui mereka tidak pasti bagaimana mangsa boleh hidup selama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:01 AM