BENITEZ ketika hadir untuk perbicaraanya di Mahkamah Barcelona.
BENITEZ ketika hadir untuk perbicaraanya di Mahkamah Barcelona.
AFP

BARCELONA: Seorang bekas guru sukan di sebuah sekolah Katolik dijatuhi hukuman penjara lebih 20 tahun oleh Mahkamah Barcelona kerana melakukan penderaan seksual ke atas pelajarnya di Sepanyol.

Joaquin Benitez, mengajar selama hampir tiga dekad di sekolah Barcelona yang dikendalikan oleh masyarakat Marist, menerima hukuman penjara 21 tahun dan sembilan bulan kerana mendera empat pelajar.

Mahkamah juga memerintahkan Benitez membayar mangsa sejumlah 120,000 euro (RM553,163).

Mahkamah berkata, Benitez mempunyai katil dalam pejabatnya ‘membolehkan dia menyuruh pelajarnya untuk memberi urutan dan merawat kecederaan.’

Dalam perbicaraan tertutup pada Mac lalu, mangsa menceritakan Benitez mengarah mereka ke pejabatnya dan melakukan penderaan seksual.

Benitez memohon maaf kepada mangsa sebelum meninggalkan mahkamah pada hari pertama prosiding. Dia beranggapan tindakannya itu dibolehkan bahawa dia sendiri pernah mengalami penderaan seksual sebagai pelajar di sekolah asrama Katolik.

“Secara nalurinya, saya melihat ia sebagai tingkah laku normal,“ kata Benitez yang memakai topeng ski hitam untuk menutup mukanya dari media, kata pemberita.

Dakwaan penderaan itu dikatakan berlaku antara awal 1980-an dan 2010. Tiga belas bekas pelajar sekolah itu juga menuduh Benitez melakukan penderaan seksual tetapi kes mereka tidak dapat diadili kerana jenayah itu sudah terlalu lama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:32 PM