RODRIGO DUTERTE
RODRIGO DUTERTE
AFP

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte sekali lagi mengundang kemarahan semalam selepas berkata beliau pernah ‘menyentuh’ pembantu rumahnya ketika masih remaja.

Pengakuan itu menyebabkan kumpulan hak wanita menuduh presiden berkenaan cuba merogol dan menggalakkan penderaan seksual.

Duterte kerap mengundang kemarahan dengan kenyataannya mengenai wanita, termasuk jenaka rogol dan menggalakkan amalan zina.

Dalam kenyataan terbaru, Duterte menceritakan semula pengakuannya kepada seorang paderi ketika di sekolah tinggi, memperincikan bagaimana beliau memasuki bilik pembantu rumahnya ketika wanita itu sedang tidur.

“Saya menyelak selimut dan cuba menyentuh apa yang ada di sebalik seluar dalamnya.

“Saya menyentuhnya dan beliau terbangun. Saya keluar dari bilik,” kata Duterte dalam ucapan lewat kelmarin.

Duterte memberitahu paderi beliau kembali ke bilik pembantu rumah berkenaan dan cuba mencabul wanita itu sekali lagi.

Parti politik yang memperjuangkan hak wanita, Gabriela, mengecam kenyataan itu dan menggesa Duterte meletak jawatan, berkata presiden itu mengaku cuba merogol.

“Rogol bukan hanya menerusi zakar. Jika ia cuma jari atau objek lain, itu sudah dianggap rogol.” kata Setiausaha Agung Gabriela, Joms Salvador.

Memberi reaksi kepada kritikan itu, jurucakap Duterte berkata presiden berkenaan ‘mengada-adakan’ dan ‘menambah dan menyambung’ cerita.

Duterte, 73, membuat kenyataan itu ketika mengutuk Gereja Katolik berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Presiden itu, yang melabelkan gereja sebagai ‘institusi paling hipokrit’, kelmarin berkata beliau dan rakan sekelasnya dicabul ketika sesi membuat pengakuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 1:11 PM