Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Teluk Intan: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan di sini, hari ini atas 32 pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual ke atas tujuh pelajarnya tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Tertuduh yang juga seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tapah didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 28 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan di sini, hari ini atas 32 pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual ke atas tujuh pelajarnya tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan di sini, hari ini atas 32 pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual ke atas tujuh pelajarnya tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam

Tertuduh juga didakwa atas 22 lagi pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(d) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif.

Shuh Yuan dalam hujahnya memohon tiada jaminan diberikan kepada tertuduh namun Muhammad Farid memohon jaminan RM3,000 dikenakan kepada anak guamnya bagi setiap kes.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta dilarang mendekati semua mangsa.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan dan kes disebut semula pada 15 November ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 3:20 PM