POLIS melihat  kereta yang terbakar di Beaubourg, Paris semalam selepas rusuhan jaket kuning terburuk di bandar itu. - AFP
POLIS melihat kereta yang terbakar di Beaubourg, Paris semalam selepas rusuhan jaket kuning terburuk di bandar itu. - AFP
AFP

Paris: Lebih 1,700 orang ditangkap di seluruh Perancis kelmarin dalam tunjuk perasaan jaket kuning apabila perusuh bertempur dengan polis dan menyebabkan lebih banyak kemusnahan di Paris berbanding bantahan sama seminggu yang lalu, kata pegawai semalam.

Rusuhan tercetus di ibu negara Perancis dan bandar utama lain termasuk Marseille, Bordeaux, Lyon dan Toulouse dalam bantahan seluruh negara berkaitan kos sara hidup yang secara keseluruhan menentang Presiden Emmanuel Macron.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di Champs-Elysees turut melaungkan slogan mendesak Macron meletak jawatan.

Seramai 1,220 daripada 1,723 perusuh yang ditangkap diarahkan ditahan di penjara.

Polis Paris memberitahu, seramai 1,082 perusuh ditangkap kelmarin berbanding 412 dalam bantahan sebelum ini.

Kementerian Dalam Negara berkata, seramai 136,000 peserta menyertai tunjuk perasaan di seluruh Perancis kelmarin, jumlah yang hampir sama dalam perhimpunan pada 1 Disember lalu.

Tunjuk perasaan ‘jaket kuning’ itu turut merebak di beberapa negara Eropah lain.

Bagaimanapun, Paris yang menyaksikan lebih banyak keganasan dan kemusnahan.

Penunjuk perasaan di ibu kota itu membakar kereta, halangan dan memecahkan tingkap. Mereka berarak dengan memakai jaket kuning terang dengan kereta perisai dilihat meronda di jalan raya.

Pihak berkuasa Paris berkata, jaket kuning kali ini menyebabkan lebih banyak kemusnahan berbanding bantahan pada 1 Disember lalu.

“Kawasan yang terjejas dengan bantahan ini adalah lebih besar. Dengan kurangnya halangan, kawasan yang terjejas lebih meluas dan banyak lokasi terkesan dengan keganasan.

“Lebih banyak kerosakan berlaku semalam berbanding seminggu yang lalu,” kata Timbalan Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:01 AM