HUJAN lebat boleh menjurus banjir kilat di wilayah barat Arab Saudi. FOTO/AGENSI
HUJAN lebat boleh menjurus banjir kilat di wilayah barat Arab Saudi. FOTO/AGENSI
Agensi

DUBAI: Wilayah barat Arab Saudi di Makkah berdepan keadaan cuaca melampau, dengan risiko guruh dan hujan, menjurus banjir kilat di sesetengah kawasan.

Pihak Berkuasa Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar memberi amaran, angin kencang bersama guruh dan hujan akan melanda tanah tinggi Jazan, Asir dan Baha, termasuk kawasan pantai hari ini, menurut laporan di laman web Arab News.

Laman web ramalan kaji cuaca Accuweather juga memberi amaran, hujan lebat boleh menjurus banjir kilat di wilayah itu.

Kabus tebal pada awal pagi ini juga dilaporkan di rantau Makkah, lapor agensi berita Saudi, SPA.

Sementara itu, amaran cuaca buruk sudah dikeluarkan, meramalkan angin kencang dan ombak tinggi di Laut Merah.

Semalam, Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal melawat wilayah Al-Lith susulan hujan lebat yang merosakkan kediaman. Beliau melawat sejumlah kejiranan terjejas dan bertemu penduduk.

Sementara itu, jurucakap Direktorat Pertahanan Awam di Makkah, Nayef Al-Sharif menggesa rakyat dan penduduk mematuhi arahan keselamatan dan peraturan ketika memandu di jalan raya ketika hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 1:42 PM