Anggota delegasi Taliban mengambil tempat ketika sidang diplomatik di Rusia. FOTO Reuters
Anggota delegasi Taliban mengambil tempat ketika sidang diplomatik di Rusia. FOTO Reuters
Reuters

MOSCOW: Pegawai Taliban buat kali pertama menghadiri sidang diplomatik di Russia semalam dengan mengulangi pendirian bahawa mereka hanya akan mengadakan rundingan terus dengan Amerika Syarikat mengenai masa depan Afghanistan dan bukan dengan kerajaan Kabul.

Sidang sehari itu menunjukkan kesediaan Moscos memainkan peranan dalam proses damai Afghanistan tetapi kerajaan di Kabul tidak menghantar wakil.

Sebaliknya, anggota Majlis Keamanan Tertinggi Afghanistan, pihak yang menyelaras usaha damai tetapi bukan wakil kerajaan, menghadirinya di mana mereka mengulangi tawaran Presiden Ashraf Ghani untuk mengadakan rundingan damai tanpa syarat.

Puak Taliban enggan berunding terus dengan kerajaan Ghani yang dianggap rejim tidak sah kerana ditubuhkan atas sokongan kerajaan asing.

Tetapi, mereka turut memberitahu: “Kami sedia mengadakan bersemuka dengan wakil Amerika dan membincangkan isu yang relevan dengan mereka.

“Emiriyah Islam tetap membuka pintu rundingan untuk mencapai persefahaman,” menurut kenyataan mereka yang turut membuat beberapa tuntutan lain termasuk menamatkan sekatan antarabangsa dan pembebasan tahanan.

Pegawai Barat dan Kerajaan Ghani curiga dengan sidang yang diadakan di Moscow kerana menganggapnya cubaan Russia untuk

mempengaruhi proses yang mereka desak sebagai perlu dipimpin Kabul.

“Kerajaan berharap mesyuarat ini membawa kepada rundingan terus antara kerajaan Afghanistan dan Taliban serta Taliban tidak dibenarkan menetapkan proses mesyuarat,” menurut kenyataan Kementerian Luar Afghanistan.

Mesyuarat di Moscow berlangsung ketika wakil khas Amerika, Zalmay Khalilzad membuat persediaan menghadiri rundingan baru dengan pegawai Taliban di Qatar.

Puak Taliban sekali lagi menuntut askar Amerika yang menyokong Kabul supaya berundur dari Afghanistan serta mendesak pindaan Perlembagaan berdasarkan prinsip Islam, kepentingan negara, keadilan sosial dan proses yang mengikut latar belakang sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 4:08 PM