GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

NAIROBI: Seorang ahli kanan sebuah pergerakan pemuda parti pemerintah di Burundi dipenggal dan isteri beliau ditembak mati, kata sumber, hari ini.

Serangan itu memburukkan lagi lonjakan keganasan di negara Afrika Timur bergolak terbabit. Insiden itu berlaku pada lewat Selasa lalu di Buyumpu berhampiran sempadan dengan Rwanda, katanya.

“Kumpulan bersenjata tidak dikenal pasti masuk ke rumah pemimpin liga pemuda Imbonerakure, Daniel Ngendakuma. Mereka membunuh beliau, memenggal kepala dan membawa pergi anggota tubuh itu bersama.

“Isteri mangsa pula ditembak mati,” kata pegawai tempatan.

“Sebuah kumpulan bersenjata dari Rwanda bertanggungjawab dan mereka kembali ke negara itu,” kata jurucakap Kementerian Keselamatan Awam, Pierre Nkurikiye, ketika mengesahkan serangan itu.

Namun, sumber kerajaan menimbulkan persoalan terhadap kenyataan kementerian.

“Tiada siapa tahu dari mana kumpulan ini datang dan ke mana ia pergi, tiada campur tangan pasukan keselamatan yang diletakkan di sempadan Rwanda,” kata sumber kerajaan.

Burundi dilanda konflik pada April 2015, selepas Presiden Pierre Nkurunziza mengekalkan penggal pemerintahan ketiga tanpa dicabar dan pembangkang beliau menyifakan ia bertentangan dengan perlembagaan.

Sejak itu, pergolakan meragut sekurang-kurangnya 1,200 korban dan memaksa 400,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing sehingga disiasat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Tahun lalu, Burundi menjadi negara pertama keluar daripada perjanjian ICC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 12:10 AM