SEORANG wanita Rohingya berehat selepas mengambil bekalan bantuan di kem pelarian Kutupalong di daerah Ukhia, Bangladesh. - AFP
SEORANG wanita Rohingya berehat selepas mengambil bekalan bantuan di kem pelarian Kutupalong di daerah Ukhia, Bangladesh. - AFP
Reuters

Yangon: Myanmar belum bersedia menerima penghantaran pulang pelarian Rohingya, kata pegawai paling kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat negara itu.

Ia berikutan dakwaan Myanmar melakukan pembersihan etnik dan mengakibatkan hampir 700,000 etnik Muslim itu melarikan diri ke Bangladesh.

“Daripada apa yang saya lihat dan dengar, tiada akses perkhidmatan kesihatan, tiada perlindungan serta tiada tempat tinggal, menjadikan keadaan tidak kondusif untuk mereka kembali,” kata Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Ursula Mueller, selepas lawatan enam hari ke Myanmar.

Kerajaan Myanmar berjanji melakukan yang terbaik bagi memastikan penghantaran pulang melalui perjanjian ditandatangani dengan Bangladesh November lalu, adalah adil, bermaruah dan selamat.

Myanmar setakat ini mengesahkan ratusan pelarian Muslim Rohingya boleh pulang.

“Kumpulan itu akan menjadi kumpulan pertama pelarian kembali ke Myanmar mengikut keselesaan mereka,” kata seorang pegawai Myanmar bulan lalu.

Mueller diberikan akses yang jarang diberikan Myanmar, termasuk kebenaran melawat kawasan paling terjejas di negeri Rakhine dan bertemu dengan menteri serta pihak hal ehwal pertahanan sempadan, termasuk pemimpin de facto Aung San Suu Kyi dan pegawai awam lain.

Ratusan ribu umat Islam Rohingya melarikan diri berikutan tindakan keras tentera kerajaan 25 Ogos lalu di negara barat laut Rakhine.

Pelarian Rohingya melaporkan kejadian pembunuhan, pembakaran, rompakan dan rogol, sebagai tindak balas terhadap serangan militan kepada pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 10:06 AM