MANGSA yang cedera menunggu bantuan di hadapan kereta yang merempuh mereka di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, Brazi kelmarin. - EPA
MANGSA yang cedera menunggu bantuan di hadapan kereta yang merempuh mereka di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, Brazi kelmarin. - EPA
Agensi

Rio de Janeiro: Seorang bayi berusia sembilan bulan maut manakala 17 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di pantai Copacabana di sini semalam.

Portal berita G1 melaporkan, pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan polis di tempat kejadian.

Pejabat kesihatan Rio de Janeiro memberitahu, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut manakala 17 lagi cedera.

Pemandu itu memberitahu polis dia mengalami sawan ketika memandu dan ubat epilepsi ditemui di dalam kenderaannya namun perkara itu belum dapat disahkan.

Seorang pegawai di balai polis Copacabana mengesahkan kematian bayi terbabit dan menjelaskan mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital.

Seorang saksi memberitahu Globo News, kereta terbabit meluncur dengan laju melintasi laluan basikal dan pejalan kaki sebelum merempuh kerusi dan meja serta orang ramai.

Kenderaan itu kemudian berhenti di kawasan pantai.

Cermin depan yang pecah dan bumbung yang kemek menunjukkan kenderaan itu dipandu laju ketika melanggar orang ramai.

Laluan penjalan kaki di pantai Copacabana adalah lokasi tumpuan penduduk Rio de Janeiro dan pelancong asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:36 AM