Agensi

Melbourne: Seorang lelaki dengan sengaja memandu keretanya merempuh orang ramai di tepi jalan di tengah bandar raya ini, hari ini, menyebabkan tiga terbunuh, termasuk seorang bayi manakala lebih 20 lagi cedera.

Kereta itu dilihat dipandu dengan cara bahaya seperti pemandu ‘drag’, berpusing-pusing di satu persimpangan dekat Stesen Kereta Api Flinders St dengan pemandunya menjulurkan tangannya ke luar tingkap.

Menurut Reuters, dua lelaki menghampiri kereta itu, cuba menghentikannya namun pemandunya terus memandu ke arah laluan pejalan kaki dekat sebuah pusat beli belah dan merempuh orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Victoria, Stuart Bateson, berkata kejadian itu menyebabkan tiga terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 cedera, termasuk empat kanak-kanak.

“Kami sudah menahannya,” katanya.

Daily Mail melaporkan, polis mengepung kereta berkenaan, melepaskan tembakan ke arah pemandu berusia 26 tahun sebelum mengheretnya keluar dari kereta.

Ketika ditahan, lelaki itu hanya berseluar dalam.

Menurut polis, kejadian pada 2 petang 11 pagi waktu Malaysia) itu ada kaitan dengan perbuatan lelaki berkenaan menikam abangnya, kira-kira 2 pagi (11 malam tadi waktu Malaysia), selepas berlaku pertelingkahan antara mereka.

Polis yang tiba di rumah mereka di pinggir bandar raya ini, mendapati ia kosong dan kedua-dua mereka gagal ditemui.

Suspek mempunyai rekod keganasan rumah tangga, dadah dan ada masalah mental.

Tidak lama kemudian, polis mengesan kereta dipandu lelaki berkenaan di pinggir Melbourne dan mengejarnya namun menghentikannya apabila mendapati kereta berkenaan di pandu dengan cara berbahaya kerana bimbangkan orang awam cedera namun helikopter polis mengekorinya.

Ketika polis berusaha mencari cara lain bagi menghentikannya, lelaki itu memandu keretanya ke tengah lebuh raya dan merempuh mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 6:00 PM
Polis melepaskan tembakan sebelum menahan lelaki yang memandu keretanya merempuh orang ramai di Melbourne. - Foto Agensi
Polis melepaskan tembakan sebelum menahan lelaki yang memandu keretanya merempuh orang ramai di Melbourne. - Foto Agensi