SAUDARA dan rakan kepada Marcos Vinicius da Silva, 14, yang maut akibat terkena peluru sesat ketika dalam perjalanan ke sekolah. Foto AFP
SAUDARA dan rakan kepada Marcos Vinicius da Silva, 14, yang maut akibat terkena peluru sesat ketika dalam perjalanan ke sekolah. Foto AFP
AFP

SERAMAI tujuh individu termasuk remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan geng jenayah di Rio De Janeiro, Brazil.

Dalam insiden terbaru, anggota keselamatan yang dilengkapi senapang dilihat menjalankan operasi mengesan suspek di kawasan kejiranan miskin atau favelas, di kawasan pantai Copacabana.

Pihak tentera yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan Rio de Janeiro sejak awal tahun ini berkata, operasi itu membabitkan 1,800 anggotanya dan 50 pegawai polis.

“Matlamat operasi ini adalah untuk memusnahkan sekatan yang didirikan oleh semua geng terbabit selain, ‘memeriksa laporan aktiviti jenayah dan kegiatan haram lain’,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan.

Operasi itu menyebabkan kesesakan teruk di kawasan pantai berkenaan tetapi, tiada insiden tembakan dilaporkan.

Bagaimanapun, dalam operasi berasingan di kawasan rangkaian favelas yang dikenali sebagai Mare, pihak polis yang dilengkapi dengan kereta perisai dilaporkan bertempur dengan sekumpulan pengedar dadah.

Menurut laman web berita G1, enam individu yang membawa senjata, peluru dan dadah terbunuh dalam operasi berkenaan.

Turut terkorban seorang remaja lelaki, Marcos Vinicius da Silva, 14, yang terkena peluru sesat ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 8:23 AM