Agensi

Stockholm: Empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 cedera kelmarin selepas sebuah trak merempuh orang ramai di luar sebuah pasar raya di sini, dalam kejadian yang dianggap Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven satu serangan pengganas.

Kejadian berlaku pada jam 3 petang (waktu tempatan) apabila sebuah trak yang dicuri merempuh pejalan kaki di jalan Drottninggatan dan pasar raya Ahlens.

Pihak berkuasa berkata, empat orang terbunuh dan 15 lagi cedera termasuk sembilan parah apabila trak itu dipandu sejauh hampir 500 meter di kawasan popular dengan pejalan kaki.

“Orang menjerit ketakutan dan berlari ke semua arah,” kata pemandu kereta, Brandon Sekitto.

Menurutnya, trak itu terus melanggar pintu masuk pasar raya berkenaan.

“Saya melihat beberapa mangsa yang cedera terbaring di laluan pejalan kaki itu,” jelasnya.

Polis semalam memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki yang sepadan dengan pemandu trak yang dirakam kamera keselamatan di lokasi serangan.

Akhbar Aftonbladet melaporkan suspek adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan berasal dari Uzbekistan.

Media juga melaporkan sejumlah bahan letupan ditemui dalam trak berkenaan.

Seorang lagi lelaki ditangkap di Hjulsta, sebuah kawasan kejiranan di Stockholm tetapi polis enggan mengesahkan kaitan dengan kejadian itu.

Sementara itu, Lofven menggambarkan kejadian itu sebagai satu serangan pengganas.

“Sweden kini diserang. Semuanya menunjukkan kepada satu serangan pengganas,” katanya.

Kejadian di Stockholm berlaku selepas beberapa lagi serangan di Eropah di mana penyerang menggunakan kenderaan sebagai senjata.

Bulan lalu, seorang lelaki yang memandu kereta merempuh pejalan kaki di Jambatan Westminster di London, Britain menyebabkan lima orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:44 AM