Reuters

PUTERA Harry disahkan bertunang kepada teman wanitanya, pelakon Meghan Markle dan majlis perkahwinan mereka akan berlangsung pada musim bunga tahun depan.

Bapa Harry, Putera Charles menerusi kenyataan Clarence House mengumumkan berita itu hari ini dan berkata, mereka bertunang awal bulan ini.

Harry, 33, adalah anak kedua Putera Charles bersama bekas isterinya, mendiang Puteri Diana dan juga orang kelima bakal menaiki takhta Britain manakala Meghan terkenal dengan wataknya dalam siri televisyen Amerika Syarikat, ‘Suits’.

“Putera Harry sudah memberitahu Ratu Elizabeth II dan ahli keluarga terdekat yang lain. Putera Harry juga sudah meminta dan menerima berkat ibu bapa Cik Markle,” kata kenyataan itu.

Ibu bapa Meghan dalam satu kenyataan berkata, mereka sangat gembira dengan pertunangan itu.

“Anak perempuan kami seorang yang baik hati dan penyayang. Melihat kesatuannya dengan Harry yang juga bersifat sama sesuatu yang gembira buat kami sebagai ibu bapa,” kata ibu bapa Meghan, Thomas Markle dan Doria Ragland.

Harry dan Markle mula bertemu pada Julai 2016 selepas diperkenalkan rakan-rakan.

Harry mengesahkan hubungan mereka beberapa bulan selepas itu namun mereka hanya mula kelihatan bersama ketika Kejohanan Invictus yang diadakan untuk veteran tentera cedera di Toronto, Kanada, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 7:26 PM
HARRY (kanan) dan Meghan (kiri) menghadiri acara tenis kerusi roda ketika Kejohanan Invictus di Toronto, Kanada pada 25 September 2017. FOTO  AFP
HARRY (kanan) dan Meghan (kiri) menghadiri acara tenis kerusi roda ketika Kejohanan Invictus di Toronto, Kanada pada 25 September 2017. FOTO AFP