PERSIDA (kiri) mengiring ibu bapa pelajar terbabit, Saldy (tengah) dan Lorenza Delos Santos (kanan) mengangkat sumpah ketika memfailkan tuduhan bunuh terhadap tiga polis berkenaan. - Reuters
PERSIDA (kiri) mengiring ibu bapa pelajar terbabit, Saldy (tengah) dan Lorenza Delos Santos (kanan) mengangkat sumpah ketika memfailkan tuduhan bunuh terhadap tiga polis berkenaan. - Reuters
Reuters

Manila: Sepasang ibu bapa memfailkan aduan terhadap tiga anggota polis berhubung pembunuhan anak mereka, pelajar sekolah tinggi yang ditembak mati minggu lalu ketika operasi dadah, kejadian yang mencetuskan kemarahan rakyat negara itu terhadap perang narkotik di Filipina.

Kematian Kian Loyd delos Santos, 17, pada 16 Ogos lalu seolah-olah menunjukkan kebenaran dalam dakwaan aktivis selama ini bahawa polis secara sistematik membunuh suspek pengguna serta pengedar dadah.

Ketua Pejabat Pendakwaan Awam (PAO) dan keluarga remaja itu memfailkan aduan terhadap tiga anggota polis terbabit mendesak supaya mereka didakwa atas tuduhan seksa serta bunuh.

Delos Santos ditemui mati di sebuah lorong dengan pistol di tangan kirinya. Polis mendakwa membunuhnya untuk mempertahankan diri, tetapi keluarga mangsa berkata, dia tidak memiliki senjata, selain tidak kidal dan tidak terbabit dengan dadah.

Kamera keselamatan turut menunjukkan anggota polis berkenaan secara agresif membawa delos Santos ke tempat dia dibunuh. Ketiga-tiga polis itu mengaku mereka adalah orang di dalam rakaman terbabit tetapi mendakwa ketika itu mereka mengiringi seorang suspek lain dan bukan delos Santos.

PAO dan pakar patologi polis yang melakukan bedah siasat berasingan memberitahu Senat yang delos Santos ditembak dari jarak dekat dengan sasaran dari atas.

“Ia pembunuhan tanpa belas kasihan, dia ditembak ketika melutut. Kami berada di sini untuk mencari kebenaran dan keadilan supaya boleh memfailkan kes ini secepat mungkin,” kata ketua PAO, Persida Acosta.

Aduan itu jika diterima akan menyertai sekurang-kurangnya dua kes difailkan tahun lalu terhadap polis berhubung perang dadah Presiden Rodrigo Duterte yang menyebabkan membunuh beribu-ribu penduduk Filipina.

Kebanyakan penduduk negara itu bagaimanapun menyokong kempen itu, menurut tinjauan pendapat.

Beberapa polis digantung tugas berhubung pembunuhan pelajar itu memberitahu Senat pada Khamis lalu yang delos Santos bukan sasaran operasi mereka dan kaitannya dengan dadah hanya diketahui sehari selepas kematiannya.

Menurut mereka, pembabitannya cuma diketahui daripada suspek dadah lain menerusi telefon bimbit dan perbualan di media sosial.

Sementara itu, Duterte Rabu lalu memberitahu polis untuk menangkap dan membunuh suspek hanya jika mereka dalam keadaan berbahaya dan tidak akan melindungi mereka yang membunuh orang yang tidak berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:42 AM