Rumah treler tempat seorang lelaki merogol anak saudara kenalannya.
Rumah treler tempat seorang lelaki merogol anak saudara kenalannya.
Agensi

SEORANG budak perempuan 14 tahun diberi minum arak hingga mabuk sebelum dirogol lelaki kenalan ibu saudaranya di Alabama, Amerika Syarikat, dan berikutan itu polis menahan lelaki berkenaan, ibu saudara mangsa dan seorang lagi wanita.

Dalam kejadian di Pleasant Ridge Trailer Park di Russellville, Alabama, Rabu, minggu lalu, adik mangsa berusia tujuh tahun yang melihat Tony Nathan Grissom, 30, merogol kakaknya, berlari meminta bantuan jiran.

Tony ditahan sehari kemudian, bersama ibu saudara mangsa, Melinda McNatt, 51, dan rakan serumah wanita berkenaan, Amanda Byrd, 37.

Kedua-dua budak perempuan itu tinggal dalam rumah treler bersama ibu saudara mereka itu.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan AL.com, Tony datang ke rumah McNatt dan mereka bertiga minum serta mengambil dadah methamphetamine.

Menurut polis, mereka turut memberi minum arak kepada remaja 14 tahun itu sehingga dia mabuk dan Tony mengambil kesempatan memperkosanya.

Adik mangsa cuba memberitahu kejadian itu kepada ibu saudaranya namun Melinda dan Amanda sudah tidak sedarkan diri akibat mabuk menyebabkan dia meminta bantuan jiran yang menghubungi talian 911.

Melinda menghadapi tuduhan memiliki dadah. Dia bersama Amanda juga menghadapi tuduhan membahayakan kanak-kanak dan bersubahat dengan perbuatan tidak senonoh terhadap kanak-kanak.

Tony yang menghadapi tuduhan merogol yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 7:58 PM