Surabaya: Penemuan kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 mampu mendedahkan kejadian sebenar dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi selagi siasatan masih belum selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, siasatan menyeluruh berkaitan pesawat itu akan mendedahkan perkara sebenar.

“Biarlah kotak hitam menceritakan apa yang berlaku sebenarnya dan jangan membuat spekulasi selagi hasil siasatan belum selesai.

“Penyiasatan berkaitan pesawat ini akan dijalankan sebaik kotak hitam itu ditemui dan tidak adil membuat spekulasi berhubung punca nahas ini,” katanya kepada di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya , semalam.

Tony berkata, keutamaan pada keluarga penumpang dan kru dengan memberi sokongan moral serta bantuan.

“Saya tidak akan lari dan meminta maaf atas apa yang berlaku serta akan bertanggungjawab dalam insiden.

“Kami cuba melakukan yang terbaik dalam menghadapi insiden ini sejak 13 tahun memimpin syarikat penerbangan ini,” katanya.

Beliau berkata, sejak insiden itu hubungannya dengan keluarga mangsa menjadi akrab dan perhubungan tidak akan terputus.

“Kita akan memberi pampasan kepada keluarga, namun tunggu terlebih dahulu hasil siasatan.

“AirAsia akan terus bekerjasama dengan BASARNAS untuk membawa keluar mangsa dan pesawat di lokasi penemuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:59 AM