CARA memproses kopi di CMCR.
CARA memproses kopi di CMCR.
Hidayatul Akmal Ahmad


Kopi memang menjadi kegemaran di seluruh dunia apatah lagi dihidangkan dengan sajian seperti pastri, roti mahupun kek.

Kopi yang dinikmati mampu menghilangkan tekanan sekali gus memberi tindak balas kepada hormon untuk menenangkan.

Ditambah pula suasana santai sambil lepak bersama keluarga mahupun rakan. Peka dengan keadaan itu, kafe Common Man Coffee Roasters (CMCR) di Taman Tun Dr Ismail menyediakan set minuman petang yang boleh dinikmati pada harga mampu.

SET minuman petang di CMCR.
SET minuman petang di CMCR.

Ditawarkan secara eksklusif setiap Khamis dan Jumaat dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang, set untuk dua orang pada harga RM75.40 ini mampu memenuhi selera anda dengan kombinasi yang sentiasa berubah bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Pengurusnya, Lam Wei Leong berkata antara hidangan yang pelanggan boleh nikmati seperti lychee coconut cheesecake, profiteroles bersama puding bijan, fresh scones bersama jem dan krim, bagel bijan dengan krim masam, mini beef, chicken atau vegetable sliders, chicken sausage roll, honey oat biscuits, sisig on grilled pita dan chocolate geteau.

“Sambil menikmati hidangan berkenaan, pelanggan boleh mencuba pelbagai pilihan kopi istimewa di kafe ini, antaranya termasuk 22 Martin Blend disediakan dengan mesin Synesso espresso dan kopi YirgZero dari Habsyab disediakan dengan penuh kepakaran.

“Selain kopi pelanggan boleh menikmati teh. Bukan sekadar kafe, CMCR turut menerima tempahan untuk majlis korporat mahupun keraian seperti sambutan hari jadi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di kafe itu baru-baru ini.

LAM menyediakan bancuhan kopi untuk pelanggan.
LAM menyediakan bancuhan kopi untuk pelanggan.

Bagi peminat tegar kopi, CMCR adalah tempat paling tepat yang mana ia menghimpunkan kopi dari seluruh dunia seperti Indonesia, Brazil, Colombia, India serta Mexico.

Menurut Lam, meskipun belum setahun dibuka, sambutan pelanggan amat menggalakkan terutama penggemar kopi. CMCR mampu memuatkan kira-kira 160 orang pelanggan dalam satu masa.

“Uniknya kami bukan hanya kafe semata-mata tetapi kami turut menyediakan Kemahiran Asas Barista di Akademi Common Man Coffee khusus untuk mereka yang mahu mempelajari ilmu barista,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:18 AM