RUANG lobi lif tingkat 10 yang memenangi tempat pertama Pertandingan Dekorasi Lobi Lif. - FOTO Aziah Azmee
RUANG lobi lif tingkat 10 yang memenangi tempat pertama Pertandingan Dekorasi Lobi Lif. - FOTO Aziah Azmee
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Walaupun berstatus pangsapuri kos rendah, mentaliti penduduk di Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Ampang, Selangor ini adalah kelas pertama.

Buktinya apabila idea kreatif mereka berjaya mentransformasi ruang lobi lif hingga kelihatan begitu 'mewah' seperti ruang lobi di hotel.

Lebih membanggakan penduduk sanggup memberikan sumbangan wang tunai demi mengindah dan menceriakan ruang lobi lif pangsapuri berkenaan.

Inisiatif ini juga salah satu usaha untuk menjadikan Pangsapuri Taman Industri sebagai pangsapuri Madani pada 2030.

Pengerusi Pertubuhan Peduli Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya, Budiman Taib berkata, usaha mendekorasi ruang lobi lif dimulakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Tujuannya adalah mewujudkan aktiviti untuk penduduk yang 'terkurung' dalam rumah kerana pandemik Covid-19.

Menurutnya, aktiviti berkenaan memberi ruang kepada penduduk untuk berkumpul dan beramah mesra dengan jiran tetangga. Selain itu, cara ini juga dapat mengurangkan tekanan penduduk.

"Sebelum itu, mesyuarat diadakan untuk memaklumkan prosedur mengindahkan ruang lobi lif pangsapuri dan pihak pengurusan memberikan RM150 kepada setiap tingkat sebagai modal permulaan.

"Perancangan awal adalah untuk melakukan dekorasi ringkas tetapi penduduk lebih bersemangat dan mereka mengambil inisiatif mengumpul sumbangan setiap unit rumah.

"Ini menjadikan proses dekorasi boleh dilakukan dengan lebih teliti hinggakan ada yang memasang jubin dan siling plaster di ruang lobi lif," katanya.

Katanya, oleh kerana sambutan menggalakkan daripada penduduk, maka aktiviti dekorasi ini diubah kepada pertandingan dekorasi lobi lif.

"Konsep dekorasi di setiap lobi lif adalah bebas dan penduduk bijak menggunakan kreativiti mereka termasuk menggunakan bahan kitar semula seperti penutup dawai elektrik sebagai hiasan.

"Pertandingan ini dijurikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha," katanya.

Budiman berkata, pemenang tempat pertama pertandingan adalah tingkat 10, tempat kedua (tingkat 20) dan tempat ketiga (tingkat 19).

Katanya, usaha penduduk turut mendapat penghargaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) apabila diberikan Anugerah Perumahan Berstrata Terbersih dan Terindah MPAJ (Best 2.0) 2023 bagi kategori Anugerah Khas (Ruang Lobi Lif Tercantik dan Terindah), baru-baru ini.

PANGSAPURI Taman Industri Lembah Jaya aktif mendekorasi ruang lobi lif. - FOTO Aziah Azmee
PANGSAPURI Taman Industri Lembah Jaya aktif mendekorasi ruang lobi lif. - FOTO Aziah Azmee

Dekorasi di tingkat 19. - FOTO Aziah Azmee
Dekorasi di tingkat 19. - FOTO Aziah Azmee

LUKISAN mural menghiasi ruang lobi lif tingkat enam. - FOTO Aziah Azmee
LUKISAN mural menghiasi ruang lobi lif tingkat enam. - FOTO Aziah Azmee

"Anugerah ini turut diberikan kerana hanya tiga rumah berstrata di bawah pentadbiran MPAJ yang membuat dekorasi di ruang lif lobi.

"Perintisnya ialah Pangsapuri Ukay Indah diikuti Pangsapuri Taman Industri dan terbaharu ialah Pangsapuri Pandan Indah.

"Sebenarnya kami mendapat idea untuk menukar wajah ruang lobi lif adalah daripada Pangsapuri Pandan Utama kerana inisiatif mereka (Pangsapuri Pandan Utama) mendekorasi ruang lobi lif pangsapuri itu menjadi tular," katanya.

Budiman berkata, kira-kira 2,600 penduduk daripada 525 unit rumah memanfaatkan sepenuhnya ruang lobi lif di pangsapuri berkenaan.

"Ruang ini sering digunakan untuk aktiviti sosial yang menghimpunkan penduduk seperti majlis kenduri, sambutan malam merdeka, jamuan hari raya dan sebagainya.

"Apa yang pasti selepas ruang lobi lif diberikan sentuhan baharu, hubungan kejiranan antara penduduk semakin baik dan erat," katanya.

Selain itu katanya, pangsapuri ini diduduki penduduk yang dipindahkan dari penempatan setinggan di Kampung Pinggir Lembah Jaya, Ampang.

Budiman yang juga pengurus bangunan pangsapuri berkenaan berkata, dia mengambil alih pengurusan Pangsapuri Taman Industri pada 2019.

"Ketika mengambil alih pangsapuri ini ada banyak masalah dengan jumlah hutang sebanyak RM500,000 dan kerosakan teruk pada lif serta pam tangki air.

"Penduduk melantik saya menjadi pengurus bagi membantu menguruskan masalah pangsapuri ini.

"Saya bertemu dengan Haniza yang ketika itu juga Exco Perumahan Kerajaan Selangor dan beliau memberikan peruntukan RM1 juta untuk membaiki kerosakan lif," katanya.

Katanya, selain dari aspek dekorasi, pangsapuri itu juga banyak pembaharuan seperti dilengkapi 40 kamera litar tertutup (CCTV) berbanding empat CCTV sebelum ini.

Dia berharap lebih banyak rumah berstrata kos rendah di MPAJ mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengindahkan perumahan masing-masing bagi mewujudkan kehidupan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 7:01 AM