Nor 'Asyikin Mat Hayin


SELAMA 29 tahun Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, Keramat, Kuala Lumpur menjadi kediaman usang, berlumut dan mengalami banyak kerosakan pada struktur bangunan hingga memaksa lebih 200 penghuninya berpindah.

Selain itu, terdapat juga kesan keretakan dinding yang teruk hingga boleh nampak jiran sebelah sedang memasak.

Malah, penduduk di blok berkenaan turut mempunyai pengalaman pernah tinggal di dalam khemah bencana selama seminggu apabila berlaku runtuhan batu bata.

Namun, semua itu sudah berakhir apabila pangsapuri itu ditransformasi dan berubah wajah menjadi pangsapuri cantik, ceria, bersih serta dilengkapi dekorasi sejak lima tahun lalu.

Lebih membanggakan pangsapuri itu aktif menyertai pertandingan perumahan terbersih dan terindah anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Baru-baru ini, Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai memenangi tempat pertama Anugerah Pertandingan Perumahan Terbersih dan Terindah (Best 2.0) serta menerima hadiah wang tunai RM3,000.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Keramat Permai Shabnam Shaheen Abdul Qadir, 41, berkata, usaha transformasi itu atas inisiatif penduduk yang mahu membuat perubahan terhadap pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, meskipun kira-kira 60 peratus penduduk di sini adalah penyewa namun mereka menjaga blok itu seperti kediaman sendiri.

KEADAAN asal Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang berlumut.
KEADAAN asal Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang berlumut.

"Penduduk di sini saling bermuafakat dan bekerjasama untuk mengindahkan blok ini tanpa jemu.

"Proses pertama dilakukan untuk perubahan pangsapuri ini ialah membina tugu F Residensi di laluan utama blok itu pada 2019.

"Tugu ini dibina penduduk secara gotong royong. Namun, usaha itu ada cabarannya kerana pernah ditertawakan kerana ia dibina ketika keadaan blok yang masih usang, berlumut dan belum dicat baharu," katanya.

Jelasnya, setiap sudut di blok pangsapuri itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencantikkan bangunan.

"Ia dihiasi dengan pelbagai hiasan yang terhasil menggunakan barangan kitar semula yang diolah diberikan nafas baharu menjadi perhiasan cantik," katanya.

TUGU F Residensi dibina tahun 2019.
TUGU F Residensi dibina tahun 2019.

Katanya, di bahagian belakang blok terdapat dua sudut iaitu spot gaya yang diolah daripada konsep peragaan hari ini (OOTD). Sudut satu lagi dinamakan Perigi Kampung Boy.

"Sementara di bahagian tengah blok pula mempunyai sudut spot gaya yang dihiasi kain lima warna iaitu hijau, biru, merah, merah jambu dan kuning di sepanjang ruang ini.

"Ia memberi impak yang besar kepada blok ini terutama sebelah malam kerana dihiasi cahaya lampu perhiasan yang menyerlahkan keindahan ruang itu," katanya.

Shabnam Shaheen berkata, keseluruhan blok dicat warna kuning banyak memainkan peranan yang menonjolkan lagi keceriaan dan seri pangsapuri itu apabila dipadankan dengan pelbagai hiasan.

Katanya lagi, sebagai AJK JMB, dia menjadi penggerak utama mengajak penduduk melakukan gotong royong membersihkan kawasan persekitaran blok sekurang-kurangnya sebulan sekali.

"Saya sangat bersyukur kerana penduduk di sini sentiasa memberikan kerjasama yang baik.

BAHAGIAN tengah blok dihiasi kain lima warna menyerlah keindahan blok F.
BAHAGIAN tengah blok dihiasi kain lima warna menyerlah keindahan blok F.

"Untuk kerja-kerja berat seperti pembersihan lumut pada dinding dan longkang dilakukan golongan lelaki menggunakan penyembur air tiga bulan sekali," katanya.

Tambahnya, perancangan akan datang adalah mahu memperluaskan dekorasi di setiap ruang empat tingkat keseluruhan pangsapuri itu.

Shabnam Shaheen berkata, kamera rakaman litar tertutup (CCTV) turut dipasang di tempat pembuangan sampah bagi mengelakkan penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata.

"Perubahan dilakukan ini juga untuk mengubah persepsi tipikal masyarakat terhadap pangsapuri kos rendah yang selalunya dianggap kotor.

"Usaha ini diharapkan boleh memberi inspirasi kepada penduduk di pangsapuri kos rendah untuk membudayakan persekitaran perumahan yang bersih.

"Ia memerlukan kerjasama antara penduduk dan bukan hanya mengharapkan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 7:01 AM