PEMILIK perlu bijak bermain warna untuk jadikan rumah kelihatan luas, menarik.
PEMILIK perlu bijak bermain warna untuk jadikan rumah kelihatan luas, menarik.
Hafiz Ithnin


MELANGKAH masuk ke ruang kediaman di Shah Alam, Selangor ini ternyata memperlihatkan pemiliknya gemarkan sesuatu yang ringkas dan kemas.

Sejak membelinya pada 2014, Jaslin Puasa sudah merancang memiliki sebuah kediaman yang tidak sarat dengan perabot dan mengangkat tema moden minimalis.

Baginya, konsep itu begitu sesuai untuk digayakan dengan pelbagai jenis perabot dan aksesori perhiasan pada ruang. Malah, ia juga malar segar.

Jaslin memilih rona putih untuk mewarnai setiap kanvas dinding kediaman itu bagi memudahkannya mengayakan pelbagai jenis perabot.

"Selain itu, rona putih juga seperti sedia maklum ia bersifat luas dan memantulkan cahaya dengan baik ke dalam kediaman.

"Tambahan, kediaman saya tidak begitu besar, jadi dengan adanya warna putih ia menjadikan ruang tamu terutamanya tampak luas dan selesa," katanya.

Jaslin berkata, ketika membeli kediaman itu dia tidak melakukan pengubahsuaian yang besar kerana keadaan sedia ada sudah cukup untuk memberikannya keselesaan sebagai orang bujang.

MEMENTINGKAN keselesaan dalam susunan perabot.
MEMENTINGKAN keselesaan dalam susunan perabot.

Katanya, sebagai pemilik kediaman dia tidak mahu berbelanja besar untuk kerja-kerja pengubahsuaian kerana perkara yang paling utama ialah perlu bijak mencari konsep yang sesuai dan rona warna.

"Seperti yang dikatakan pada awal tadi, kediaman saya tidak begitu besar dan rasanya untuk melakukan pengubahsuaian tidak begitu berbaloi.

"Jadi, saya lebih ke arah mencari sesuatu yang mudah untuk dipadankan di dalam kediaman yang kecil tetapi ia mampu memberi kesan ruang iaitu dengan menggunakan rona putih serta tidak memuatkan perabot yang besar," katanya.

Malah dia mendapat idea untuk menghias kediaman itu menerusi laman sosial dan pengalaman mengembara ke luar negara terutama ketika berada di dalam ruang penginapan yang kecil tetapi pemilik hotel menghiasnya menjadi menarik serta tampak luas.

PASU pokok menjadi aksesori di dalam kediaman.
PASU pokok menjadi aksesori di dalam kediaman.

"Menerusi pemerhatian saya, kita tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan kesan yang baik dalam menghias kediaman.

"Kreativiti dalam memilih perabot dan warna sememangnya menjadi perkara paling penting supaya setiap ruang di dalam rumah sendiri rasa selesa," katanya.

Tambahnya, dia juga begitu gemar meletakkan tumbuh-tumbuhan hidup di dalam kediaman kerana ia juga mampu memberi aura tenang di dalam kediaman.

"Pokok hidup di dalam rumah tidak seperti pokok tiruan kerana ia tidak memerangkap habuk. Jadi, meletakkan pokok 'indoor' terutama jenis berdaun sememangnya mampu memberi kesan kepada hiasan dalaman supaya tampak menarik.

BILIK tidur yang ringkas dan selesa.
BILIK tidur yang ringkas dan selesa.

"Selain itu, warna hijau asli dari dedaun tumbuh-tumbuhan di dalam kediaman ini juga memberikan aura positif kepada saya sekali gus menyuntik suasana segar," katanya.

Katanya, perhiasan berasaskan kaca yang dipilihnya seperti bekas menyimpan pokok dan bingkai gambar juga membantu untuk kediaman yang tidak begitu besar dari segi angka itu (850 kaki persegi) tampak luas.

"Perhiasan kaca ini juga menjadi salah satu elemen yang mampu menjadi pemantul cahaya supaya ia tampak luas ketika saya berada di dalam rumah.

"Selain itu, perhiasan kecil berkaca ini juga mampu mengangkat elemen moden yang menarik jika dipadankan dengan aksesori ringkas lain seperti pokok kering," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 7:01 AM