PINTU Perancis yang menjadi pemisah dengan ruang makan.
PINTU Perancis yang menjadi pemisah dengan ruang makan.
Hafiz Ithnin


GARAPAN serasi antaranya putih, hitam, kelabu dan emas sememangnya memberi kepuasan kepada keluarga kecil ini.

Mempunyai minat mendalam terhadap tema moden dan mewah, bagi Masniza Shaheeda Md Said, 36, sentuhan peribadi bersama suami meskipun tanpa menggunakan khidmat pereka dalaman profesional, impian penataan istimewa tetap dapat diterjemahkan.

Masniza berkata, dia dan suami, Mohd Hairul Hazli Bakri, 39, banyak merujuk kepada platform media sosial untuk mendapatkan inspirasai dalam menata hias kediaman.

Jelasnya, enam bulan sebelum mendapat kunci kediaman berkeluasan 1,085 kaki persegi yang dibelinya pada tahun lalu dia sudah membuat kajian mengenai konsep hiasan dalaman yang diinginkan.

"Saya hanya membelanjakan kira-kira RM25,000 untuk tujuan pengubahsuaian dan membeli perabot. Kebanyakan perabot dibeli menerusi platfrom jualan dalam talian.

"Agak sukar juga pada mulanya untuk mendapatkan kombinasi yang serasi antara perabot dan rona di dalam kediaman kerana jika tersilap pilih, pada hemat saya ia akan kelihatan tidak serasi," katanya.

Masniza berkata, dalam tempoh enam bulan itu, sudah menjadi kemestian untuk dirinya setiap hari sentiasa 'membelek' telefon pintar untuk meninjau kedai jualan perabot secara dalam talian.

"Memang agak penat pada awalnya kerana saya dan suami tidak mahu membeli sesuatu yang tidak kena dengan cita rasa serta akhirnya membazir.

"Jadi, membuat perancangan awal adalah sesuatu yang amat penting dan sentiasa meninjau pelbagai kedai perabot yang kini mudah untuk ditinjau hanya menerusi telefon pintar sahaja," katanya.

Katanya, dia memilih konsep mewah dan moden kerana merasakan ia sesuatu yang malar segar serta mudah untuk diaturkan.

"Konsep moden sudah pasti memerlukan kita bijak dalam menyusun atur perabot supaya ia tidak nampak begitu sarat.

AKSESORI ringkas menonjolkan elemen moden.
AKSESORI ringkas menonjolkan elemen moden.

KEMAS dan ringkas di ruang dapur.
KEMAS dan ringkas di ruang dapur.

"Bagi konsep mewah pula saya memilih rona emas dan perabot yang berkilauan seperti meja makan serta rak simpanan barangan yang mempunyai hiasan jubin," katanya.

Tambahnya, di ruang utama kediaman iaitu ruang tamu, dia dan suami gemarkan sesuatu yang ringkas serta sesuai dengan jumlah ahli keluarganya sahaja.

"Jika lihat kepada ruang tamu kami, hanya terdapat sofa tiga tempat duduk, meja kopi dan bangku ottoman yang ringkas sahaja.

"Pada hemat saya, dalam mendekorasi kediaman, kita kena fikirkan fungsi kepada ahli keluarga dan bukan semata-mata kepada tetamu. Jadi, tidak perlu mempunyai perabot yang banyak tetapi tidak digunakan," katanya.

Tambahnya, dia memilih rona putih pada dinding di ruang tamu kerana ia bersifat universal dan mudah untuk digabungkan dengan warna perabot yang lain.

"Memilih rona ruang tamu yang bersifat universal seperti putih pada saya penting kerana jika pada masa depan kita mempunyai cita rasa lain dan memerlukan perubahan rona perabot, kerja-kerja menghias menjadi lebih mudah.

"Selain itu, saya dan suami juga melihat warna putih mampu memberi pencahayaan yang baik di dalam rumah dan menjadikan ruang menjadi lebih luas," katanya.

Mengenai ruang dapur, katanya, tiga rona utama menjadi pilihan iaitu hitam, putih dan emas kerana kerana ia dilihat garapan yang serasi.

"Sebenarnya kabinet dapur sudah diberikan kepada pemaju dan kami hanya mengubah suai warnanya supaya mempunyai kesinambungan dengan ruang lain di dalam kediaman.

"Bagi saya kesinambungan rona dan konsep setiap ruang adalah penting supaya ia tidak tampak pelik terutama dari segi pemilihan warna," katanya.

Ternyata hasil sentuhan Masniza dan suami itu berjaya menarik perhatian dalam kalangan jiran yang menginginkan bantuan dalam mendekorasi kediaman.

"Saya pun tidak sangka jiran yang datang yang pada awalnya hanya untuk menziarah kini menjadikan kami sebagai rujukan untuk mendekorasi kediaman mereka," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:00 AM