BAHAN dan ciri tambahan akan meningkatkan suasana kolam renang.
BAHAN dan ciri tambahan akan meningkatkan suasana kolam renang.
Muhamaad Razis Ismail


CUACA panas dan lembap di Malaysia menyebabkan ramai gemar melakukan aktiviti berenang.

Bukan sahaja untuk menyejukkan badan, aktiviti ini membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental sambil membolehkan kita meluangkan masa bersama yang tersayang.

Pemilik rumah di Malaysia jarang membina kolam renang peribadi di pekarangan rumah kerana beranggapan kos pembinaan kolam renang di rumah sangat tinggi, ketidaksesuaian tapak pembinaan dan proses penyelenggaraan mungkin sukar untuk dijalankan.

Bagaimanapun, di negara barat, kolam renang persendirian sudah menjadi trend dengan kewujudan teknologi pembinaan kolam yang canggih, peningkatan kesedaran mengenai kebersihan diri dan sifat mereka yang mementingkan kualiti hidup.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco, Koo Zao Cheong berkata, sejak dilanda pandemik Covid-19, warga barat terutamanya semakin didorong untuk membina kolam renang peribadi di rumah sendiri.

"Menerusi pembinaan kolam dan teknologi sanitasi yang ditambah baik, memiliki kolam peribadi di rumah untuk berenang dengan selamat bukan sesuatu yang sukar untuk dicapai di Malaysia.

KOLAM renang memberi kemudahan kepada pemilik rumah melakukan aktiviti renang tanpa perlu ke kolam renang awam.
KOLAM renang memberi kemudahan kepada pemilik rumah melakukan aktiviti renang tanpa perlu ke kolam renang awam.

"Dengan perancangan dan peralatan yang betul, pemilik rumah mampu membina kolam renang impian mereka sambil mengekalkan bajet," katanya.

Berikut beberapa perkara yang perlu diambil kira pemilik rumah yang ingin membina kolam renang impian tanpa mengeluarkan perbelanjaan terlalu besar:

1. Tapak pembinaan adalah faktor utama yang akan menentukan kos

Langkah pertama membina kolam renang peribadi adalah dengan menilai keadaan tapak pembinaan untuk menentukan saiz, bentuk dan jenis kolam renang yang sesuai untuk rumah anda.

Anda mungkin perlu menjalankan ujian tanah untuk memahami keadaan tanah dan kestabilan untuk menentukan kesesuaian lokasi serta jenis kolam renang. Kawasan rata yang bertanah halus adalah tapak yang ideal untuk pemasangan kolam kerana ia memerlukan kerja asas dan landskap yang minimum. Sebaliknya, tanah cerun yang curam dengan tanah berbatu atau lembut memerlukan landskap tambahan yang menyebabkan kos lebih tinggi.

KEADAAN tapak dan kestabilan tanah akan menentukan jenis dan kos kolam renang.
KEADAAN tapak dan kestabilan tanah akan menentukan jenis dan kos kolam renang.

2. Tentukan jenis dan saiz kolam renang berdasarkan keadaan tapak pembinaan

Selepas selesai penilaian dan pemilihan tapak pembinaan, pemilik rumah boleh menentukan jenis dan saiz kolam renang pilihan mereka. Keadaan dan kestabilan tanah akan menentukan lokasi kolam renang sama ada ia perlu berada di dalam atau luar rumah, atas tanah atau dalam tanah.

Secara amnya, kolam dalam tanah adalah lebih mahal berbanding kolam atas tanah kerana banyak masa diperlukan untuk menggali dan mengalih tanah sebelum pembinaan kolam boleh dimulakan. Saiz kolam perlu diambil kira kerana semakin besar kolam, semakin tinggi kos yang dikenakan.

3. Pemilihan bahan dan ciri tambahan

Bahan pembinaan yang digunakan untuk kolam idaman anda juga adalah salah satu perkara utama yang perlu dipertimbangkan untuk mengawal bajet sambil mengekalkan estetika dan untuk memastikan proses penyelenggaraan yang minimum untuk jangka panjang.

Pemilik rumah boleh memilih bahan sesuai untuk pembinaan kolam yang tidak memerlukan penyelenggaraan rumit. Beberapa bahan yang paling popular untuk pembinaan kolam termasuk konkrit dan gentian kaca.

Kolam konkrit adalah pilihan yang paling kuat dan paling tahan lama, tetapi masa yang diperlukan untuk membinanya mungkin lebih lama kerana ia dibina di tapak pembinaan itu sendiri dan kelengkapannya bergantung pada keadaan cuaca.

Sebaliknya, kolam gentian kaca lebih cepat untuk dipasang. Jika anda ingin meningkatkan estetika atau ciri-ciri tambahan untuk berenang dengan lebih santai, anda boleh memasang lampu kolam renang dan ciri tambahan seperti sistem pemanasan kolam.

SISTEM penapisan dan sanitasi yang cekap dapat memastikan persekitaran air yang bersih dan selamat.
SISTEM penapisan dan sanitasi yang cekap dapat memastikan persekitaran air yang bersih dan selamat.

4. Sistem penyelenggaraan dan sanitasi

Sistem peredaran dan sanitasi yang berkualiti adalah penting untuk memastikan kolam di dalam atau di luar rumah kekal bersih serta jernih untuk kita berenang dengan selamat. Jenis sistem penapisan dan sanitasi mempengaruhi kos pemasangan dan penyelenggaraan kolam renang dalam jangka panjang. Pemilik rumah perlu memastikan sistem penapisan air yang dipilih terbukti dan diuji secara menyeluruh sebagai jimat tenaga dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:20 AM