PASTIKAN kolam sentiasa bersih.
PASTIKAN kolam sentiasa bersih.
Muhamaad Razis Ismail


PELAKSANAAN kawalan pergerakan bagi memerangi penularan pandemik Covid-19 memaksa kita untuk kekal di rumah demi keselamatan dan kesihatan semua.

Selepas lebih setahun, kita sudah dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu termasuk bekerja dari rumah disebabkan batasan kapasiti di tempat kerja.

Persekitaran yang menyenangkan bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan bekerja dari rumah, malah berupaya meningkatkan kesejahteraan mental kerana kita akan lebih santai dan senang hati ketika berada di suasana selesa.

Oleh sebab yang demikian, anda mungkin mahu mewujudkan persekitaran kediaman sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup sambil memenuhi keperluan terutama apabila perlu bekerja dari rumah.

Merealisasikan konsep 'kehidupan ambien' dengan reka bentuk dalaman yang optimum mungkin sukar dicapai, terutama bagi mereka yang tidak begitu artistik atau kreatif dan bagi mereka yang mungkin kesuntukan masa atau wang.

Namun, ada banyak cara untuk kita menghasilkan 'kehidupan ambien' yang diinginkan dengan membuat beberapa perubahan kecil di rumah atau dengan mengubah rutin harian.

1. Pastikan rumah sentiasa kemas dan bersih

Rumah yang bersepah akan menimbulkan perasaan yang tidak disenangi. Anda pasti berasakan tekanan apabila melihat longgokan baju kotor yang tidak terbasuh, lantai penuh habuk dan meja bersepah. Tugas membersih persekitaran rumah seakan-akan tidak dapat diselesaikan. Lagi lama kita tunggu untuk memulakan kerja membersih, lagi banyak yang perlu dibuat. Rumah yang bersepah dapat menimbulkan tekanan visual dan fizikal, secara langsung menyebabkan masalah tidur. Untuk mengelak masalah yang sebegini berlanjutan, kita boleh membuat perubahan melalui tabiat harian menghasilkan persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa. Tempat tinggal yang bersih dapat mempromosikan kesejahteraan dan menenangkan fikiran kita.

2. Menghasilkan zon selesa

Bekerja dari rumah kini sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan orang. Oleh itu, amat penting untuk kita memisahkan ruang kerja dan ruang rehat untuk kesejahteraan diri. Sebagai contoh, tetapkan zon selesa di rumah anda untuk aktiviti santai, sama ada untuk mendengar muzik, berehat atau membaca. Letakkan kerusi yang selesa di tempat yang anda suka atau di kawasan yang bercahaya semula jadi dan jadikan tempat itu sebagai sudut membaca. Anda tidak perlu menggunakan ruang yang besar, tetapi hanya satu sudut khusus untuk tujuan ini. Untuk ruang kerja pula, tempatkan ruang ini di sudut yang paling optimum supaya anda dapat fokus dengan tenang. Cara paling efektif untuk mendatangkan fokus adalah dengan mendirikan sesuatu jenis halangan seperti tirai untuk menutupi pemandangan yang mungkin mengganggu.

3. Menghidupkan persekitaran rumah

Persekitaran rumah yang dihidupkan secara semula jadi dapat membuat kita berasa lebih santai dan selesa. Tanaman hijau sebagai hiasan rumah sangat baik untuk kesihatan kita, lagi-lagi untuk menenangkan kita selepas penat bekerja. Tanam-tanaman juga dapat meningkatkan kualiti udara dan kelembapan rumah yang membawa manfaat tambahan untuk kesihatan badan seperti melegakan kulit kering dan mencegah tekak kering. Pembinaan kolam ikan atau akuarium kecil juga antara pilihan yang popular buat masa sekarang kerana ia boleh mencantikkan persekitaran dan pada masa sama, haiwan akuatik juga agak mudah untuk dijaga.

PERSEKITARAN menyenangkan dapat meningkatkan keberkesanan bekerja dari rumah.
PERSEKITARAN menyenangkan dapat meningkatkan keberkesanan bekerja dari rumah.

HIDUPKAN persekitaran rumah.
HIDUPKAN persekitaran rumah.

4. Menggunakan cahaya semula jadi untuk pencahayaan sekitar

Sistem pencahayaan memainkan peranan penting bagi persekitaran rumah, tetapi ia juga antara faktor yang paling diabaikan. Persekitaran kita menentukan perasaan kita dan oleh itu, kita perlu mewujudkan suasana yang sempurna untuk kehidupan seharian selesa. Pilihan pencahayaan bukan sahaja dapat mempengaruhi suasana keseluruhan rumah kita, tetapi juga akan memberi kesan kepada perasaan kita. Anda tidak perlu memasang kelengkapan lampu mewah untuk tujuan ini kerana lebih penting adalah untuk memanfaatkan cahaya semula jadi. Cahaya matahari yang menyinari ruang dalaman rumah mampu mewujudkan persekitaran menyenangkan.

5. Menambah hiasan kecil

Cara yang paling mudah untuk mewujudkan persekitaran yang menyenangkan adalah dengan menambahkan barang hiasan. Dekorasi yang sesuai dengan gaya rumah dapat mendatangkan konsistensi kepada reka bentuk dalaman. Barang hiasan boleh dibuat sendiri menggunakan seni kraf buluh atau barangan kitar semula. Barang hiasan ini boleh dibuat bersama keluarga sebagai aktiviti riadah. Di samping itu, anda juga boleh menghias rumah anda dengan meletakkan gambar orang tersayang.

6. Memastikan kolam renang sentiasa bersih dan selamat

Bagi mereka yang mempunyai kolam renang di rumah, meluangkan masa untuk berendam buat seketika mampu meningkatkan semangat kita bagi memulakan aktiviti harian. Untuk tujuan ini, kita perlu pastikan kebersihan dan keselamatan kolam. Walaupun tidak digunakan, kolam perlu dibersihkan kerana keadaan persekitaran luar rumah akan mempengaruhi persekitaran dalam rumah. Untuk mengekalkan kolam renang yang bersih, terutama pada waktu seperti ini di mana kita tidak dapat mendapatkan servis pembersihan kolam daripada pihak ketiga, pilihan bijak adalah menggunakan sistem pengklorinan automatik. Sistem ini dapat memudahkan penyelenggaraan kolam untuk mengekalkan kejernihan dan kebersihan air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:32 AM