BANJIR mengakibatkan kerugian kepada pemilik rumah.
BANJIR mengakibatkan kerugian kepada pemilik rumah.
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan beberapa kejadian bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan kerosakan terhadap kediaman.

Situasi ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pemilik rumah, malah turut mengancam nyawa.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, pemilihan kediaman yang bebas bencana perlu diambil kira dalam proses pembelian rumah.

"Pastikan rumah berada di luar kawasan banjir dan dalam keadaan risiko minimum untuk berlaku tanah runtuh.

"Langkah ini penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kerugian di kemudian hari selain turut memberi ketenangan kepada penghuni rumah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bakal pembeli perlu mengambil langkah awal dengan melakukan tinjauan awal di lokasi.

"Cuba dapatkan maklum balas atau pandangan mengenai lokasi berkenaan daripada penduduk setempat.

"Penduduk asal lebih mahir dan mempunyai pengalaman mengenai situasi bencana di sekitar rumah yang ingin dipilih," katanya.

Jelasnya, pemilihan lokasi juga perlu mengambil kira akses sekitar seperti jalan raya yang selamat daripada berlaku sebarang bencana.

TANAH runtuh turut mengundang kegusaran kepada penduduk.
TANAH runtuh turut mengundang kegusaran kepada penduduk.

"Ini penting, kalau rumah sahaja yang selamat, tetapi akses tidak selamat sukar juga untuk penghuni mendapatkan sebarang bantuan," katanya.

Bagaimanapun, ada juga pembeli rumah yang tidak mempunyai pilihan dengan tinggal di kawasan mempunyai risiko bencana seperti banjir.

"Sebagai contoh luar bandar, mungkin tanah di kawasan banjir sahaja yang mereka ada untuk membina rumah atau di tepi sungai dan pantai.

"Jadi, saya melihat perkara ini kemungkinan mereka sedar hal ini, namun tiada pilihan. Oleh itu, mereka sudah bersedia dengan risiko yang bakal dihadapi," katanya.

Justeru itu, pemilik rumah yang berdepan situasi ini perlu bijak menguruskan risiko bakal mereka hadapi.

"Jika boleh, pastikan rumah itu mempunyai insuran perlindungan tambahan yang melindungi sebarang kerugian disebabkan bencana.

KOLAM takungan air mesti mampu menampung limpahan air hujan
KOLAM takungan air mesti mampu menampung limpahan air hujan

"Walaupun terpaksa keluarkan sedikit kos, tetapi ia amat penting untuk melindungi sebarang kerugian yang lebih besar berlaku," katanya.

Selain itu, pemilik rumah boleh membuat persiapan lebih awal untuk berdepan sebarang kemungkinan.

"Sebagai contoh, banjir sebenarnya boleh dicegah daripada memasuki dalam rumah dengan penggunaan peralatan penghadang air.

"Teknologi ini sebenarnya sudah meluas digunakan di luar negara. Paling kurang, penghuni sediakan beg pasir sebagai benteng," katanya.

Tambahnya, kebanyakan dalam perancangan bandar sememangnya pemaju perlu menyediakan kolam tangkungan air untuk menampung limpahan air hujan yang berlaku.

"Cuma mungkin dengan situasi sekarang, taburan hujan meningkat dan cuaca tidak menentu. Jadi, aspek yang perlu dilihat ialah sejauh mana kesesuaian dan keupayaan kolam takungan itu mampu menampung banjir.

"Sebaiknya, ketika prapembinaan, pemaju perlu menambak tanah di tapak projek supaya aras tanah di kawasan perumahan itu berada pada aras lebih tinggi berbanding aras biasa," katanya.

Selain itu, sistem pengaliran yang bersepadu perlu dilakukan pemaju iaitu mewujudkan sistem longkang yang lebih besar dan mampu mengalirkan terus air hujan ke kolam takungan atau sungai berdekatan.

"Kita sedia maklum, masih wujud projek perumahan di negara kita yang mempunyai sistem pengaliran hanya cukup syarat yang pada hemat saya ia sudah tidak lagi relevan.

"Mungkin juga pemaju perlu membina penghadang besar atau benteng besar untuk mengurangkan risiko limpahan banjir memasuki kawasan perumahan penduduk. Ini sudah dilakukan di negara maju seperti di Belanda," katanya.

Mengulas lanjut, dalam hal ini, pemilik rumah perlu memastikan segala kemudahan yang disediakan berfungsi dengan baik.

"Pastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Mungkin meminta pihak berkuasa tempatan untuk memantau dan memastikan segala kemudahan yang disediakan pemaju berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berpendapat, pemilihan rumah di peringkat awal amat penting dalam menentukan sesuatu kawasan kediaman itu bebas bencana atau berisiko rendah.

"Bakal pembeli tidak perlu terburu-buru dan perlu lebih berhati-hati serta tidak mudah tertarik dengan sebarang tawaran yang dilakukan pemaju.

"Perlu diingat bahawa pembelian rumah bukan perkara mudah dan memberi kesan yang panjang, sekali gus terpaksa menanggung risiko lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 7:00 AM