RUMAH A Frame yang unik dan menarik.
RUMAH A Frame yang unik dan menarik.
Muhamaad Razis Ismail

Pada amulanya, dia mencadangkan rekaan rumah menggunakan konsep A Frame yang amat jarang ditemui di negara ini kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, ia ditolak berikutan pelanggannya itu tidak yakin dengan potensi kediaman seperti ini.

Pereka hiasan dalaman, Fadzilly Harun, 53, kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan projek itu di tanah miliknya yang mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

Melihat bumbungnya yang besar dan curam, pasti ramai tertarik untuk melihat lebih dekat rumah yang berkeluasan 750 kaki persegi di Lingkaran Mahsuri, Jalan Makam Mahsuri, Langkawi, Kedah ini.

Fadzilly berkata, rumah yang dinamakan UluVilla GuestHouse itu adalah 'kanvas' untuk lebih memudahkannya memberikan gambaran sebenar kediaman yang menggunakan konsep A Frame.

"Konsep A Frame ini sebenarnya banyak diguna pakai di Eropah dan amat sesuai untuk diaplikasi di negara ini.

RUANG tamu yang menggunakan beberapa warna alam.
RUANG tamu yang menggunakan beberapa warna alam.

"Dengan adanya rumah ini, memudahkan saya menceritakan kepada pelanggan dengan lebih jelas kelebihan konsep ini, penilaian ruang, penggunaan material dan kesan yang diperoleh sebagai kediaman berkonsep 'holiday home," katanya ketika dihubungi.

Menariknya untuk hiasan dalaman, Fadzilly mengetengahkan konsep 'ugly rustic' yang amat dekat dengan jiwanya.

Menurutnya, dengan konsep ini, dia banyak menggunakan warna alam seperti warna kayu, simen dan besi karat.

"Malah untuk material juga saya banyak menggunakan kayu seperti lantai, perabot dan hiasan dalaman untuk disesuaikan dengan konsep yang ingin diketengahkan.

"Boleh dikatakan 50 peratus, material rumah ini menggunakan bahan terpakai manakala selebihnya adalah bahan baharu," katanya.

Fadzilly berkata, kelebihan konsep ini adalah ia lain daripada yang lain dan sesuai dengan individu yang ingin kelainan.

GAMBARAN ruang tamu dari atas.
GAMBARAN ruang tamu dari atas.

"Tidak ramai orang yang berani menggunakan konsep sangat 'mesra' rumah ini.

"Selain itu, saya sukakan konsep ini kerana ia lebih terbuka untuk mewujudkan ruang yang lebih luas, sekali gus memudahkan keluarga untuk berkumpul ketika bercuti," katanya.

Mengulas lanjut, rumah ini mempunyai tiga 'lapisan' yang dibina untuk tujuan tertentu.

"Untuk ruangan bawah yang menempatkan ruang tamu, dapur dan tandas digunakan sebagai tempat berkumpul untuk ahli keluarga dan rakan.

"Di lapisan kedua, adalah ruang yang lebih privasi yang menempatkan sebuah tilam bersaiz 'queen'.

"Manakala di lapisan terakhir iaitu di loteng yang lebih bertujuan menjadi ruang untuk anak-anak yang dimuatkan tilam 'queen' dan 'single' dengan pemandangan menarik," katanya.

BANYAK menggunakan material kayu.
BANYAK menggunakan material kayu.

Bagi penulis, antara ruang yang paling menarik adalah tandas kerana ada sebatang pokok besar yang sengaja dibiarkan oleh pemiliknya.

"Pokok itu sudah lama dan saya tidak pasti jenisnya, namun buahnya amat disukai burung dan kelawar. Saya sengaja biarkan pokok itu di situ kerana sangat sukakan alam semula jadi, sekali gus dapat menyuntik elemen tropika," katanya.

BUKAAN lebih luas di bahagian loteng.
BUKAAN lebih luas di bahagian loteng.

Fadzilly berkata, di tingkat bawah, dia banyak menggunakan cermin supaya penghuni rasa lebih dekat dengan luar selain mendapat cahaya semula jadi pada sebelah siang.

"Untuk bahagian atas terdapat bukaan yang luas supaya cahaya semula jadi dan kanvas alam dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

Mengulas lanjut, untuk hiasan dalaman dia lebih cenderung ke arah elemen etnik termasuk menggunakan lukisan atas kulit kayu yang dibeli di Papua New Guinea.

"Selain itu, saya turut menggunakan dayung dan tombak daripada kaum dayak sebagai hiasan yang dipadankan dengan konsep moden tropika," katanya.

POKOK di tandas menyuntik elemen tropika.
POKOK di tandas menyuntik elemen tropika.

Bagi pemilihan perabot pula, kebanyakannya terdiri daripada kayu sama ada dihasilkan sendiri dan dibeli di kedai perabot.

"Antara perabot yang dihasilkan termasuk meja bar di ruang dapur daripada kayu jenis meranti kuning. Ia sengaja dibina tinggi untuk mewujudkan sempadan antara dapur dan ruang tamu.

"Untuk kepala katil, saya turut menggunakan kayu cengal yang dipotong dan direka untuk kelihatan 'ugly rustic'," katanya.

Katanya, selepas memuat naik gambar rumah itu di media sosial, dia mendapat banyak maklum balas positif yang tertarik dengan reka bentuk dan hiasan dalaman kediaman ini.

"Sememangnya itu antara tujuan sebenar saya untuk berkongsi idea dan memberi pendedahan berkenaan rekaan rumah ini.

"Saya tidak kisah jika ada yang ingin bertanya dan mencedok idea daripada rekaan saya ini kerana sekurang-kurangnya ilmu yang saya miliki dapat memberi manfaat kepada orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:00 AM