RUANG tamu yang susun rapi.
RUANG tamu yang susun rapi.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Melihat penataan dalam mahupun di luar sebuah rumah teres di Kuantan, Pahang ini, tiada siapa menyangka ia didiami seorang lelaki yang masih bujang.

Di ruang tempat letak kereta, dipenuhi pelbagai pokok segar, air pancuran dan bangku besi seperti seolah-olah berada di sebuah taman.

Melangkah masuk ke kediaman seluas 22 x 80 kaki persegi itu pula, tetamu akan terpukau dengan ruang tamu yang menempatkan sofa, lampu meja dan rak televisyen yang disusun kemas.

Pemiliknya, Zaidi Manaff, 37, menggunakan kombinasi warna hijau dan kelabu di bahagian dinding dan lantai coklat untuk menyerlahkan ruang terbabit.

Di satu sudut, beliau menempatkan koleksi mainan edisi terhad.

DINDING di laluan ke dapur dihias dengan kertas dinding dan gambar.
DINDING di laluan ke dapur dihias dengan kertas dinding dan gambar.

Di bahagian dinding turut ditempatkan cermin dan gambar supaya tidak kelihatan 'kosong.'

Laluan untuk ke dapur juga turut dihias dengan kertas dinding dengan corak batu-bata dan gambar.

Biarpun masih bujang, Zaidi tetap pastikan bahagian dapur didekorasi menggunakan kabinet pasang siap berwarna putih.

Terdapat meja makan enam tempat duduk dan meja bar berserta hiasan mentol yang digantung seperti seolah-olah berada di kafe 'hipster'.

Di bahagian dinding dapur, terdapat 'wainscoting' yang dicat dengan warna biru.

Melangkah masuk ke bilik tidur utama, pengunjung akan terasa seolah-olah berada di dalam bilik hotel lima bintang. Biarpun nampak ringkas, kombinasi warna hitam dan biru, berjaya menaikkan 'mood' romantik.

Berbeza dengan sebuah bilik tamu yang menggunakan warna cerah iaitu hijau dan putih.

Pemiliknya amat meminati perabot yang menggunakan besi dengan kayu berwarna hitam dan coklat untuk disesuaikan dengan lantai lamina berwarna coklat.

Lebih menarik, hampir 90 peratus dekorasi kediamannya itu dilakukan sendiri Zaidi sejak tiga tahun lalu.

Perkongsian di laman sosial Facebook baru-baru ini mendapat maklum balas positif dalam kalangan netizen sekali gus memberi inspirasi dalam menghias rumah.

BILIK tidur utama dihias seperti di hotel.
BILIK tidur utama dihias seperti di hotel.

Biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang hiasan dalaman, kakitangan sumber manusia di sebuah syarikat swasta ini, bijak menggunakan kreativiti sendiri untuk menghias rumahnya.

Zaidi berkata, beliau sangat menggunakan konsep ringkas dan minimalis untuk mendekorasi kediamannya.

Katanya, idea untuk menghias itu diperoleh daripada carian di Internet dan secara spontan.

"Saya tidak suka lihat keadaan rumah yang tidak kemas dan tidak tersusun. Oleh sebab itu saya menghias kediaman biarpun tinggal sendirian di rumah.

"Malah ketika tinggal di rumah sewa sebelum ini, saya turut menghias rumah untuk keselesaan sendiri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, menjadi orang bujang bukanlah alasan untuk tidak menghias kediaman dengan citarasa sendiri.

"Saya akui ada segelintir individu akan mula dekorasi rumah selepas berkahwin. Namun pada saya, ia tidak salah untuk kita buat persediaan awal sebelum berkahwin," katanya.

TEMPAT letak kereta yang dihias dengan pokok hidup, air pancut dan bangku.
TEMPAT letak kereta yang dihias dengan pokok hidup, air pancut dan bangku.

Tambahnya, dia mengambil masa selama tiga tahun untuk mendekorasi kediamannya sendiri dengan membuat rujukan di Internet bagi mendapatkan idea.

"Biasanya saya peruntukan masa selepas pulang daripada kerja dan hujung minggu untuk hias rumah ini secara sedikit demi sedikit.

PENGGUNAAN meja makan berwarna coklat disesuaikan dengan warna lantai.
PENGGUNAAN meja makan berwarna coklat disesuaikan dengan warna lantai.

"Saya pun tidak mahu terlalu tergesa-gesa dan (tidak) terlalu mengikut trend untuk elakkan pembaziran," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, beliau merancang untuk menambah jubin di bahagian tempat letak kereta.

ZAIDI Manaff
ZAIDI Manaff

"Pada masa sama, saya akan memanfaatkan siling yang tinggi di bahagian ruang tamu dengan menambah loteng. Di bahagian dapur, saya merancang untuk tambah kabinet dapur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:01 AM