MUSA menikmati pemandangan taman bersama isteri dan anak.
MUSA menikmati pemandangan taman bersama isteri dan anak.
Nurul Husna Mahmud

Sarat nilai estetika dan unik! Perkataan yang paling tepat menggambarkan landskap sentuhan Musa Ibrahim pada taman mini yang terletak di sisi ruang parkir di Apartment Indahria, Shah Alam, Selangor.

Mana tidaknya, bapa kepada seorang cahaya mata ini kreatif menggunakan barangan terpakai. Pasu umpamanya tampil sebagai perabot yang dapat memberi nilai kepada taman poket yang diusahakan sejak Jun lalu.

Pengunjung taman tidak akan berasa jemu kerana boleh meneliti kreativiti Musa yang diperlihatkan pada segenap sudut dengan idea penataan taman tersendiri.

Lihat sahaja sudut santai atau istirahat yang menempatkan dua kerusi dan meja makan kecil, ada 'kanopi' kecil menggunakan payung lama dengan sedikit kerja pertukangan iaitu menggunakan paip PVC siap ditanam dengan konkrit pada kakinya.

BEKAS kaca dengan ikan hiasan untuk deko ruang taman.
BEKAS kaca dengan ikan hiasan untuk deko ruang taman.

Bukan itu sahaja, beg tangan dan pasu anyaman buluh turut dijadikan pengganti kepada pasu tanaman biasa, sekali gus memberi sentuhan cukup unik jika diperhatikan secara dekat.

Berkongsi mengenai kerjayanya, Musa yang juga masih berkhidmat sebagai kru kabin dengan syarikat penerbangan negara menyiapkan landskap taman mini terbabit hanya dalam tempoh sebulan.

"Sebenarnya kawasan ini sebelum menjadi taman adalah ruang kosong dan hanya ada timbunan batu seperti bekas tapak projek. Kebetulan tapak taman ini juga terletak di plot depan dengan tempat saya parkir kereta, jadi timbul keinginan untuk usahakan sesuatu.

RUTIN baharu Musa setiap pagi iaitu menyiram tanaman di taman mini.
RUTIN baharu Musa setiap pagi iaitu menyiram tanaman di taman mini.

"Tambah pula ketika itu saya banyak masa di rumah kerana jadual penerbangan tidak banyak selain keadaan negara dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (ketika artikel ini ditulis), saya gunakan kesempatan itu untuk bercucuk tanam.

"Cabaran saya ialah barangan untuk bercucuk tanam sangat terhad terutama tanah atau medium tanaman sangat kurang kerana nurseri masih tutup ketika itu. Saya terpaksa beli tanah dan biji benih di kedai serbaneka," kata bapa kepada Aisyah Safiya, 1, itu.

BESEN mandian kanak-kanak menjadi pasu bagi tanaman aloe vera.
BESEN mandian kanak-kanak menjadi pasu bagi tanaman aloe vera.

Tambah Musa lagi, tanah sedia ada di lokasi taman itu juga tidak sesuai kerana penuh dengan timbunan batu menyebabkan kaedah membangunkan plot dan tanaman berpasu lebih sesuai.

"Di sini tiada tanaman apa-apa kecuali satu pokok kurma. Pokok kurma itu ditanam pemaju apartmen dan tinggalkan begitu sahaja tanpa dijaga. Keadaannya tidak begitu baik dan saya rawat semula.

RUANG rehat untuk duduk.
RUANG rehat untuk duduk.

"Saya gunakan pokok kurma itu sebagai fokus di kawasan taman ini dengan sedikit tambah dekorasi iaitu menggunakan batu yang ditimbun sebagai perincian.

"Di bawah pokok kurma itu pula saya letakkan sekelilingnya pokok bayam brazil untuk beri visual yang hijau dan menarik. Tambah pula pokok bayam brazil ini perlukan sedikit teduhan jadi pokok kurma adalah tanaman yang sesuai," katanya.

Taman mini diusahakan Musa itu juga memfokuskan pokok untuk dimakan dan herba bagi ubat-ubatan sebagai tanaman utama selain boleh diakses oleh komuniti pada bila-bila masa.

"Sehingga kini saya menanam lebih 40 tanaman dan sebahagian besar adalah berpasu. Tanaman saya tanam adalah jenis yang biasa dimakan atau digunakan komuniti contohnya pokok pandan, kunyit, bayam, cili selain herba seperti hurix yang banyak digunakan untuk merawat batuk serta selesema.

SUSUN atur yang menarik.
SUSUN atur yang menarik.

"Ada juga pokok untuk perubatan tradisional seperti pokok bidara yang berduri. Pada saya tanaman ini penting untuk kegunaan harian dan ini juga antara sumbangan saya boleh lakukan bagi komuniti setempat," katanya.

Taman berkenaan antara lokasi menjadi kegemaran penduduk apartmen untuk bersantai pada sebelah petang selain sudut berswafoto bagi dipaparkan di media sosial masing-masing.

"Tarikan lain ialah hiasan gantung yang diletakkan bertujuan menambah keceriaan taman berkenaan. Ramai anak penghuni apartmen ini datang untuk bergambar.

"Ada yang memberi maklum balas bahawa pemandangan dengan hiasan gantung itu memberi pesona seolah-olah berada di kawasan percutian dan tampak cantik terutama di awal pagi atau lewat petang.

BEG rotan menjadi tempat tanaman pokok menjalar.
BEG rotan menjadi tempat tanaman pokok menjalar.

"Saya dan isteri, Iryani Najmi Idris, 34, selalu bawa anak untuk siram tanaman setiap pagi, sementara petang pula lebih kepada bersantai dan berehat sambil melihat tanaman," katanya.

Meskipun sudut ini kecil, tetapi impak taman diusahakan Musa itu cukup besar kerana menjadi sumber makanan serta terapi apabila terlalu lama berkurung dalam rumah.

Pada masa sama, ia memberi nilai tambah kepada persekitaran kerana taman itu boleh memperindahkan ruang sekitar.

Kata Musa, usaha itu turut mendapat sokongan komuniti apabila ada yang menyumbang barangan tanaman baik tanah, pokok mahupun anak benih.

BEG tangan dan raga besi dijadikan pasu tanaman hiasan.
BEG tangan dan raga besi dijadikan pasu tanaman hiasan.

Selain itu, ada juga menyumbang barang yang tidak digunakan untuk dijadikan sesuatu yang berguna untuk taman terbabit.

"Setakat ini pihak pengurusan banyak beri sokongan termasuk kebenaran saya menggunakan bekalan air untuk kerja menyiram. Bagi penduduk pula mereka juga banyak menyumbang benih dan tanah untuk saya perbanyakan lagi tanaman," katanya.

POKOK kurma dirawat semula selain turut ada tanaman bayam brazil di sekelilingnya.
POKOK kurma dirawat semula selain turut ada tanaman bayam brazil di sekelilingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:10 AM