RONA dinding gelap menaikkan warna aksesori dan perabot.
RONA dinding gelap menaikkan warna aksesori dan perabot.
Hafiz Ithnin


LIRIKAN mata garang si penari wanita Bali sememangnya mampu memukau pandangan khalayak penonton. Jika yang pernah menonton persembahannya, pasti terbayang-bayang pesona wanita itu tatkala meliuk lentuk jari, jelingan tajam dan badan mengikut bunyi gamelan tradisi yang berdampingan dengannya.

Aura, itu frasa yang sesuai apabila melangkah masuk ke kediaman bersaiz sekitar 900 kaki persegi milik Mohd Firdaus Sedet di Shah Alam, Selangor.

Dek cintanya kepada budaya Bali, dihiaskan kediaman peribadinya untuk mempunyai aura yang sama diinginkan apabila masuk ke ruang privasi lelaki itu.

Potret penari wanita Bali menjeling tajam menjadi titik fokal pada dinding utamanya. Biarpun sudah mempunyai satu titik fokal, dinding yang dicat berona kelabu gelap yang lain tidak dibiarkan kosong, ada sahaja gambar yang dibingkaikan tetapi tidak sekuat potret wanita itu.

Nampaknya, dekorasi diinginkan Firdaus untuk membawa aura Bali ke kediamannya berjaya kerana dia bijak memadankan perabot, tona kanvas kediaman dan aksesori lain untuk ‘menghidupkan’ budaya itu di dalamnya.

Lelaki berusia 37 tahun itu berkata, sebenarnya tidak sukar untuk menggarap idea membawa elemen Bali ke dalam kediaman dengan sentuhan sendiri tanpa perlu ada bantuan tangan profesional. Paling utama adalah perlu tahu mengenai cita rasa.

Katanya, cinta kepada elemen klasik dan budaya Bali menjadikan idea terbaik untuk menghasilkan sebuah dekorasi kediaman yang diinginkannya. Bagaimanapun, unsur klasik tidak diangkat hanya berteraskan kayu yang sinonim dengannya.

“Mempunyai latar belakang pekerjaan sebagai seorang pereka grafik menjadikan saya mudah untuk menghasilkan sebuah karya dalam susun atur atau dekorasi kediaman kerana dalam kehidupan bekerja yang banyak mencorak kehidupan peribadi memerlukan saya berimiginasi dalam berkarya.

“Sebaik sahaja mendapat kunci kediaman tiga tahun lalu, saya sudah mencongak padanan warna, aksesori dan perabot kerana ingin menghasilkan sebuah kediaman yang mempunyai aura Bali di dalamnya. Sedikit demi sedikit, inilah karya yang mampu dihasilkan,” jelasnya.

Meskipun, ada yang melihat jika sebuah ruang utama sudah mempunyai satu titik fokal dengan dihiaskan gantungan gambar berbingkai yang tidak perlu mengganggu kekuatannya dengan menambah gambar lain di dinding yang berjiran dengannya, bagi Firdaus, dia tidak merasa begitu.

Katanya, dia tidak gemar jika dinding dibiarkan kosong. Biarkan setiap dinding dihidupkan dengan karya tersendiri seperti dihias lukisan alam semula jadi dan abstrak. Namun, perlu bijak bermain cerita antara satu sama lain.

GAMBAR penari wanita Bali yang  digantung menjadi titik fokal ruang tamu.
GAMBAR penari wanita Bali yang digantung menjadi titik fokal ruang tamu.

“Bagitu juga dengan perabot, saya gemarkan elemen klasik tetapi saya tidak memilih untuk memuatkan segala-galanya berunsur kayu. Cukup dengan hanya sebuah gobok kayu berlaci klasik dan selebihnya perabot berunsurkan besi dan porselin.

“Apabila masuk ke kediaman ini, saya inginkan kepelbagaian elemen yang harmoni dan tidak canggung apabila setiap perabot atau aksesori dimuatkan di dalamnya. Meskipun bertemakan klasik dan berbudaya Bali tetapi ia boleh dipadankan dengan elemen perabot yang lain,” katanya.

Si bujang itu juga sebenarnya peminat porselin kerana terdapat pelbagai aksesori berunsurkan porselin di ruang utamanya. Pelbagai bentuk dan ciri dimilikinya.

Paling menarik perhatian pastinya dia bijak memiliki elemen warna porselin yang kebanyakannya berwarna putih sebagai kanvas dan corak abstraknya pula mempunyai warna biru atau hitam.

Tona dinding yang gelap apabila dimasukkan seni porselin nampaknya menjadi kerana aksesori itu ternyata dapat menyerlahkan kewujudannya dan paling penting tidak ‘dimakan’ auranya oleh perabot dan aksesori yang lain.

Firdaus berkata, porselin dimilikinya dibeli dari pelbagai negara dan koleksi itu juga memberi kepuasan peribadi kepadanya kerana bagi pengumpul aksesori itu, jika berjaya meragut karya porselin yang diidamkan pasti berasa puas. Apatah lagi, jika amat padan diletakkan dalam kediaman.

“Hiasan porselin dimiliki saya terdiri daripada pinggan mangkuk, lampu meja dan bekas pelbagai guna. Semuanya saya atur dan letak di ruang utama kerana dilihat ia begitu padan apabila digabungkan dengan elemen kayu dan besi.

“Meskipun menjaga porselin ini lebih rumit terutama untuk mengemas dan membersihkannya kerana kemungkinan untuk jatuh itu ada tetapi bagi saya ia satu kepuasan apabila dapat memiliki pelbagai jenis dan bentuk porselin untuk dihias di ruang tamu,” katanya.

Anak kelahiran Telok Mas, Melaka itu juga berkata, dia amat suka untuk mengadunkan alam semula jadi di ruang tamunya untuk tampak lebih segar. Apatah lagi, apabila terdapat daun-daun besar diisi dalam balang polos menghidupkan suasana dalam sebuah ruang.

“Saya tidak sekadar memilih daun atau bunga plastik untuk mengisi balang polos kerana berpendapat di dalam sebuah ruang saya perlukan sesuatu yang asli untuk menjadikan auranya lebih hidup,” katanya mengakhiri perbualan.

GEROBOK lama menjadi identiti klasik di ruang tamu.
GEROBOK lama menjadi identiti klasik di ruang tamu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:00 AM