MUSTAFA Abdul Aziz semasa sidang media pelancaran lembut Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di MATRADE. FOTO Asyraf Hamzah
MUSTAFA Abdul Aziz semasa sidang media pelancaran lembut Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di MATRADE. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merangka strategi bagi mengatasi cabaran geopolitik yang kian memuncak bagi memastikan prestasi perdagangan negara tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, kesemua 49 pejabat Matrade di luar negara sudah diarahkan untuk membuat analisa pendedahan risiko geopolitik di kawasan masing-masing, seterusnya membangunkan cadangan tindakan penampan.

Katanya, pada masa ini, pihaknya sedang melakukan analisa dan eksport Malaysia di negara yang terbabit konflik di Asia Barat.

"Bagaimanapun, ia kurang daripada satu peratus daripada nilai keseluruhan, namun pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan pasaran ini.

"Apa kita buat ialah mendapatkan maklumat bagaimana trend eksport ke negara terbabit dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan kita boleh menggunakan negara atau bandar di kawasan berkenaan untuk mengeksport di negara yang terbabit konflik.

"Contohnya Iran, kita boleh menjual ke sana melalui Doha dan Dubai, serta akan berhubung dengan pengedar dan pengeksport di sana.

"Ketika konflik GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dengan Qatar sebelum ini, kita mengeksport barangan ke negara berkenaan menerusi Oman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, satu lagi strategi untuk mengurangkan impak risiko geopolitik ke atas perdagangan Malaysia ialah dengan menambah pasaran baharu, terutamanya dalam kalangan pasaran baharu muncul.

"Ini termasuk negara seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi dan Namibia, yang mana kesemua negara ini menunjukkan peningkatan signifikan dan potensi besar untuk eksport produk tempatan.

"Kita turut melihat kepada negara yang mana keadaan ekonomi dan situasi politik mereka dilihat semakin baik dan memperlihatkan polisi lebih jelas untuk meningkatkan dagangan, misalnya Indonesia yang bakal menerima presiden baharu dengan mandat kukuh.

"Apabila pertumbuhan ekonomi China menyederhana sebelum ini, eksport kita ke sana berkurangan dan keadaan sama boleh berlaku di rantau lain, jadi persediaan awal dan langkah penampan penting, ini sedang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:28 PM