Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) di Tokyo baru-baru ini, bagi memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama penggalakan perdagangan antara kedua-dua negara.

Memorandum itu bertujuan meningkatkan kerjasama jangka panjang dengan memanfaatkan peluang dalam konteks ekonomi semasa selain meninjau potensi pendigitalan dan e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, sempena penganjuran acara akan datang seperti temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo serta Ekspo Dunia 2025 di Osaka, terdapat banyak peluang yang boleh direbut oleh syarikat di kedua-dua negara terutama dalam usaha eksport produk dan perkhidmatan halal.

"Oleh itu, kami menggalakkan lebih banyak lagi syarikat Malaysia untuk menghubungi Matrade dari segi bantuan bagi tujuan pengembangan serta akses pasaran Jepun," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Matrade berkata, MoC terbabit dimeterai dalam pusingan kedua misi perdagangan dan pelaburan ke Korea Selatan dan Jepun oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Misi enam hari yang bermula pada 1 April lalu adalah misi perdagangan dan pelaburan pertama yang diketuai beliau bagi tahun ini.

Pemeteraian MoC yang disaksikan oleh Mohamed Azmin dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Hiroshi Kajiyama, juga memaparkan kerjasama erat antara kedua-dua negara yang berminat untuk memperluas kerjasama dalam bidang seperti industri halal dan transformasi digital.

Maklumat lanjut mengenai sokongan Matrade bagi syarikat tempatan boleh diperoleh menerusi [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:00 AM