Wan Saifulrizal Wan Ismail
Wan Saifulrizal Wan Ismail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih 14,000 pelan perlindungan takaful dibeli daripada Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah inisiatif i-Lindung.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, lanjutan kedua inisiatif i-Lindung KWSP itu akan membantu lebih ramai orang dan ahli keluarga mereka mempunyai perlindungan daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka.

"Kami percaya lebih ramai ahli daripada golongan pertengahan mendapatkan perlindungan berikutan pengumuman KWSP bahawa mereka kini boleh menggunakan dana daripada Akaun 2 untuk membeli produk takaful untuk diri mereka sendiri dan ahli keluarga terdekat," katanya kepada Bernama.

Menurut KWSP, lebih 102,301 ahli membeli 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023.

Pada Februari 2024, dana persaraan itu memperluas perlindungan polisi kepada ahli keluarga terdekat.

Wan Saifulrizal berkata, PruBSN dalam masa yang sama memahami keperluan mendesak untuk membangunkan pelan perlindungan dengan teliti bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan sara hidup.

Melalui kerjasama dengan KWSP, PruBSN menawarkan empat pelan perlindungan takaful, iaitu PruBSN Lindung, PruBSN Lindung Famili, PruBSN Cegah, dan PruBSN Cegah Famili - meliputi perlindungan takaful hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan.

Mengenai perkembangan lain, Wan Saifulrizal berkata, halangan seperti inflasi perubatan mungkin memberi kesan kepada tahap kemampuan orang ramai bagi mendapatkan pelan perlindungan perubatan.

"Kami percaya beberapa penetapan semula harga dilakukan pada pelan perlindungan perubatan tahun ini disebabkan oleh inflasi perubatan.

"Oleh itu, kami akan menyediakan beberapa pilihan seperti menyemak liputan, atau mungkin memilih pelan yang lebih berpatutan untuk meneruskan perlindungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:53 AM