KWSP catat peningkatan 57 peratus pendaftaran ahli baharu kepada 146,000 orang bagi suku pertama 2022. FOTO Arkib NSTP
KWSP catat peningkatan 57 peratus pendaftaran ahli baharu kepada 146,000 orang bagi suku pertama 2022. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan sebanyak 57 peratus pendaftaran ahli baharu kepada 146,000 orang bagi suku pertama 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan terbabit selaras dengan usaha dana persaraan itu yang memulakan strategi jangka panjang untuk meluaskan liputan perlindungan sosial rakyat Malaysia dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, buat masa ini, walaupun ada pelbagai inisiatif perlindungan sosial yang diperkenal dan sesetengahnya mendapat pembiayaan kerajaan, namun rata-rata kesedaran mengenai pentingnya perlindungan sosial dan persiapan untuk hari tua masih terlalu rendah dalam kalangan sejumlah besar rakyat Malaysia.

"Menerusi Program Transformasi GLC yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memacu pemulihan dan pembinaan semula ekonomi negara pascapandemik melalui ekosistem GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), salah satu aspek terpenting adalah pengukuhan perlindungan sosial dan tanggungjawab ini sudah diberikan kepada KWSP.

"Setakat ini, strategi ini sudah pun membuahkan hasil, di mana pendaftaran ahli baharu meningkat 57 peratus kepada 146,000 ahli dalam suku tahun pertama 2022, manakala pencarum sukarela terkumpul di bawah program i-Saraan sudah melonjak naik 77 peratus kepada 599,000 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kemudahan Insurans dan Takaful i-Lindung KWSP di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sedar, bagi mereka yang memahami risiko kehidupan, masih ramai ragu-ragu dan berkira-kira memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli insurans sebagai perlindungan diri.

Beliau berkata, i-Lindung dapat membantu ahli KWSP mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

"Syabas saya ucapkan kepada KWSP yang berkolaborasi dengan syarikat insurans dan pengendali takaful untuk mewujudkan i-Lindung.

"Ini adalah satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 12:40 PM