WAN Saifulrizal (kanan) dan Mohd Haqem pada majlis pelancaran PruBSN AnugerahPlus, semalam. FOTO Bernama
WAN Saifulrizal (kanan) dan Mohd Haqem pada majlis pelancaran PruBSN AnugerahPlus, semalam. FOTO Bernama
Nabil Basaruddin


PETALING JAYA: Prudential BSN Takaful (PruBSN) akan memperkenalkan beberapa produk takaful berasaskan digital sebagai usaha menarik golongan muda memiliki pelan takaful.

Ketua Pegawai Pemasarannya Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, inisiatif itu sejajar dengan garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pengendali takaful dan insurans tempatan bagi menggalakkan kadar penembusan terhadap perlindungan takaful.

Beliau berkata, syarikat mempunyai dua pendekatan bagi produk berasaskan digital iaitu sebagai pemudah cara kepada proses permohonan bagi perlindungan dan pilihan produk yang lebih mesra pelanggan serta mampu milik.

“Potensi sektor takaful di Malaysia sentiasa meluas dan ia mempunyai prospek pertumbuhan yang tinggi.

“Bagi kami, ia langkah tepat untuk melaksanakan pelbagai usaha namun ia adalah proses berterusan yang perlu dilakukan dalam tempoh panjang.

“Tumpuan kepada segmen digital adalah tepat yang akan disokong beberapa produk takaful berasaskan digital tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran PruBSN AnugerahPlus di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengagihan Agensi PruBSN Mohd Hakem Nordin.

PruBSN AnugerahPlus adalah pelan takaful mampu milik berpandukan syariah yang boleh diubah suai mengikut kemampuan pada harga serendah RM50 sebulan.

Wan Saifulrizal berkata, pada harga itu, pelanggan dapat memaksimumkan manfaat perlindungan mereka dengan mengambil mana-mana 15 pelan tambahan ditawarkan.

“Antara ciri produk ini ialah ia menawarkan perlindungan lengkap seperti Medic Protector iaitu pelan perubatan tanpa had seumur hidup meliputi kos hospital, pembedahan atau rawatan pesakit luar terpilih.

“Lebih menarik, ia mempunyai ciri Medic Booster yang membolehkan had tahunan ditingkatkan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Katanya, produk itu dapat membantu merapatkan jurang kewangan dengan Cancer Protection yang menyediakan bayaran, sekali gus sebanyak lima peratus daripada jumlah perlindungan pada tahun pertama penyakit dikesan dan 10 peratus pada tahun kedua.

PruBSN ada 16,000 perunding takaful dan lebih 850,000 pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:14 AM