Kompleks PKNS Shah Alam
Kompleks PKNS Shah Alam

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan yang tular di media sosial dan laporan akhbar mengenai cadangan merobohkan Kompleks PKNS Shah Alam yang berusia lebih empat dekad itu.

PKNS dalam satu kenyataan semalam berkata, ia menyatakan kekesalan terhadap dakwaan yang tidak berasas itu dan akan membuat laporan polis berkaitan penyebaran berita tidak tepat berkenaan.

"Kami juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan penyebaran laporan yang tidak benar sama sekali," katanya.

Menurut kenyataan itu, PKNS menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ikonik berkenaan.

"Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun ini adalah antara mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.

"Perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 ini adalah sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

"Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

"Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung," katanya.

Menurut PKNS, projek peremajaan ini juga adalah seiring dengan usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon dengan bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem centralised chill water selain sistem tenaga hijau.

"Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

"Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung bebas membeli barang keperluan mereka," katanya.

PKNS berkata, penubuhan PKNS sebagai agensi pembangunan negeri bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi yang berpandukan dasar kerajaan demi mewujudkan kestabilan dan keharmonian di negeri Selangor.

"Aspirasi ini dapat dicapai melalui pembangunan pusat pertumbuhan baharu, penerokaan kawasan kediaman yang mampan, pembangunan pusat industri dan perniagaan serta pelbagai aktiviti pelaburan yang dilaksanakan," katanya.

Seorang pengguna X baru-baru ini mendedahkan bahawa kompleks PKNS akan dirobohkan tidak lama lagi bagi memberi laluan terhadap projek pembangunan semula di kawasan berkenaan.

Dalam hantaran berkenaan, individu itu berkata, dua lagi mercu tanda yang dilaporkan bakal terbabit sama adalah SACC dan SACC Mall.

Dalam ciapan itu, difahamkan kawasan terbabit akan dibangunkan semula dengan beberapa strategi pembangunan yang dirancang oleh pihak PKNS sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 7:57 AM