KEMERIAHAN Kompleks PKNS yang dirakam menjelang Aidilfitri tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
KEMERIAHAN Kompleks PKNS yang dirakam menjelang Aidilfitri tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kompleks PKNS yang terletak di Seksyen 14, di sini bukan sekadar tempat membeli-belah di musim perayaan, sebaliknya identiti Shah Alam yang dikenali umum sejak sekian lama.

Isu Kompleks PKNS akan dirobohkan dan bakal diganti dengan kondominium seperti tular di media sosial tidak hanya mengejutkan warga daerah ini bahkan, peniaga yang mencari rezeki di situ.

Rata-rata peniaga ditemui hari ini sepakat menolak cadangan perobohan kompleks itu, apatah lagi ada antara mereka yang sudah berniaga sehingga 40 tahun lamanya.

Kata mereka, Kompleks PKNS nadi tempat peniaga Melayu mencari rezeki, meski banyak pusat beli-belah baharu.

Peniaga makanan, Fariza Mohd Safri, 46, yang meneruskan legasi perniagaan keluarga berharap rancangan itu tidak akan berlaku.

"Saya berniaga di sini meneruskan perniagaan keluarga saya yang bermula 40 tahun lalu, kalau boleh kami mahu terus berniaga di sini, malah, kami juga baru laksana proses baik pulih kedai selaras naik taraf kompleks.

"Justeru, saya amat berharap Kompleks PKNS dikekalkan untuk kami peniaga-peniaga di sini mencari rezeki. Kompleks ini mercu tanda dan identiti Shah Alam," katanya.

Bagi Ali, 60, yang berniaga pakaian dan khidmat jahitan, menaik taraf dan melakukan penambahbaikan terhadap kompleks itu lebih baik daripada merobohkannya.

"Inilah kawasan orang-orang Melayu berniaga, macam saya lebih 20 tahun..Ada juga lebih 30 tahun dan saya berharap kami dapat terus kekal di sini," katanya.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan berkata, membuat laporan polis terhadap dakwaan perobohan kompleks lebih empat dekad itu selain menyifatkannya fitnah tidak berasas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 11:14 PM