TENGKU Muhammad Taufik (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
TENGKU Muhammad Taufik (kanan). FOTO Hairul Anuar Rahim
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Biarpun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia, Petronas terus komited membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan tahun ini.

Pada 2023, syarikat minyak dan gas nasional itu membayar dividen sebanyak RM40 bilion kepada kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pembayaran dividen itu dibuat berdasarkan kemampuan syarikat minyak dan gas nasional itu.

"(Berhubung dividen kerajaan) sebanyak RM32 bilion diluluskan ahli lembaga semalam.

"Ia akan dibayar antara Mac hingga Disember," katanya kepada media sempena mengumumkan prestasi kewangan berakhir 2023 Petronas di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha.

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas turut mencatatkan keuntungan bersih RM80.7 bilion selepas meraih pendapatan RM343.6 bilion.

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, Petronas mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM343.6 bilion, terutamanya dipengaruhi harga realisasi purata yang lebih rendah.

"Ini sebahagiannya diimbangi peningkatan jumlah jualan terutamanya daripada produk petroleum dan impak pertukaran asing," katanyq.

Katanya, Petronas akan terus melaksanakan disiplin modal yang ketat dan pengurusan portfolio teguh di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran ke arah menyampaikan keselamatan tenaga yang dikurangkan pelepasan dan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:55 PM