FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Petronas bersetuju membayar dividen tambahan RM7 bilion kepada kerajaan menjadikan keseluruhan berjumlah RM25 bilion tahun ini.

Ia adalah tambahan kepada RM18 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, persetujuan pembayaran dividen tambahan itu adalah selaras kemampuan dan keputusan dibuat secara terperinci oleh firma petroleum nasional itu.

Katanya, pembayaran tambahan juga bergantung kepada garis panduan obligasi yang dilaksanakan membabitkan peruntukan modal bagi memastikan perniagaan berjalan seperti biasa dan mengambil kira keperluan syarikat untuk terus berkembang.

"Keputusan ini turut dibuat berdasarkan kemampuan Petronas untuk memenuhi keperluan agensi penarafan kredit dan kewangan luaran membabitkan pengurusan perbelanjaan bagi meraih pulangan dan keuntungan sewajarnya.

"Kerajaan ada membuat permintaan pada bulan lalu berhubung dividen tambahan dan kami telah membuat analisis dan mengambil kira perspektif mudah tunai serta kemampuan Petronas berikutan kedudukannya yang tertakluk di bawah Akta Syarikat," katanya pada sidang media maya selepas pengumuman keputusan separuh pertama 2021 syarikat itu, hari ini.

Tahun lalu, Petronas menyalurkan dividen berjumlah RM34 bilion kepada kerajaan.

Pada 2019, firma itu membayar dividen berjumlah RM54 bilion kepada kerajaan, termasuk dividen khas RM30 bilion.

Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, sebelum keputusan dibuat Ahli Lembaga Pengarah akan memastikan pembayaran dividen tambahan itu tidak menjejaskan Petronas dan syarikat dapat mengekalkan kecairannya.

Katanya, langkah itu juga untuk memastikan aspek penampan dikekalkan dan syarikat berupaya untuk kekal berdaya saing serta berupaya berdepan sebarang ketidaktentuan.

"Sebanyak RM7 bilion pembayaran dividen tambahan adalah kemampuan syarikat selepas melaksanakan pelbagai langkah meningkatkan keupayaan syarikat termasuk mempelbagaikan perniagaan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Liza Mustapha berkata, keputusan pembayaran dividen tambahan kepada kerajaan dibuat selepas mengambil kira kemampuan syarikat membabitkan komitmen semasa dan komitmen pertumbuhan.

"Selepas ia dibincangkan dengan Ahli Lembaga Pengarah dan keputusan telah dibuat untuk membuat bayaran dividen tambahan ini. Banyak perbincangan dilaksanakan untuk memastikan ia memenuhi kemampuan syarikat," katanya.

Sementara itu, Petronas kembali meraih keuntungan selepas cukai pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berjumlah RM9.6 bilion, berbanding kerugian selepas cukai RM21 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi lebih baik yang dicatatkan syarikat petroleum nasional itu adalah berikutan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM57.1 bilion, melonjak 68 peratus berbanding RM34 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020.

Keputusan kewangan positif Petronas disokong harga purata direalisasi yang menguntungkan bagi produk utama dan jualan lebih tinggi dipacu kebanyakan jualan gas dan gas asli cecair (LNG).

Bagi suku dikaji, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) berada pada RM23.2 bilion, menokok RM14.1 bilion daripada RM9.1 bilion yang diraih pada suku kedua 2020.

Ia selaras dengan pendapatan lebih tinggi yang sebahagiannya diimbangi kos produk dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.

Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi kukuh syarikat itu disokong tindak balasnya dalam membolehkan kecemerlangan operasi berterusan dalam tempoh persekitaran pasaran yang baik pada separuh pertama tahun ini.

"Petronas dapat memanfaatkan rantaian nilai bersepadu dengan fokus lebih tinggi kepada kecemerlangan komersial, selain mengekalkan tahap kecairan sihat yang terbukti bermanfaat kepada kami.

"Di tengah-tengah prospek yang tidak menentu ini, kumpulan tetap teguh menyediakan penyelesaian menjimatkan kos dengan jejak karbon lebih rendah menerusi langkah memajukan teknologi dan agenda digitalisasi.

"Petronas akan terus maju dalam strategi pertumbuhan dengan pantas dan memperhebatkan usaha kelestarian untuk meneroka peluang baharu dalam peralihan tenaga," katanya.

Berhubung prospek perniagaan, Tengku Muhammad Taufik berkata, industri minyak dan gas menyaksikan pemulihan dalam harga serta permintaan minyak berikutan pembukaan semula ekonomi utama di seluruh dunia.

"Justeru, Petronas akan terus memberi tumpuan dalam memaksimumkan nilai dengan memanfaatkan rantaian nilai bersepadu kumpulan, meneroka peluang baharu dan mengurangkan ketidakpastian pasaran," katanya selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas secara maya semalam.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, keuntungan selepas cukai Petronas meningkat 100 peratus kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian selepas cukai RM16.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu disokong Ebitda lebih tinggi dan kerugian rosot nilai yang rendah berikutan kenaikan harga.

Dari aspek perolehan, Petronas meraih pendapatan RM109.6 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini, melonjak 17 peratus berbanding RM93.6 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Ebitda pula berada pada RM46.1 bilion, meningkat 57 peratus daripada RM29.4 bilion, kebanyakan disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:16 PM