Bangunan KWSP.
Bangunan KWSP.
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II membuka ruang kepada kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara nama yang disebut bakal menerajui jawatan tertinggi dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset itu adalah Nurhisham Hussein dan Syed Hamadah Syed Othman.

Nurhisham adalah Ketua Pegawai Strategi KWSP, namun ketika ini beliau dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri sebagai pengarah kanan ekonomi dan kewangan selama dua tahun.

Beliau bukanlah nama yang asing dalam KWSP kerana sudah terbabit sebagai penggerak utama pelbagai agenda serta langkah yang dilaksanakan KWSP sejak pandemik yang lalu.

Nurhisham antara individu utama dalam merangka siri pengeluaran khas KWSP ketika pandemik COVID-19 di bawah CEO ketika itu Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

Malah, ketika Amir Hamzah menjadi CEO KWSP juga, Nurhisham antara yang bertanggungjawab dalam merealisasikan Akaun 3 atau akaun fleksibel.

Beberapa sumber menyatakan Nurhisham juga antara perancang utama dalam membantu Perdana Menteri menentukan Belanjawan 2024 yang lalu.

Satu lagi nama yang disebut menjawat jawatan itu adalah Syed Hamadah Syed Othman yang ketika ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH).

Syed Hamadah sebelum ini pada 2021 turut dikaitkan sebagai calon mengisi jawatan penting KWSP itu menggantikan Tunku Alizakri Alias.

Syed Hamadah mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dari 2018 hingga 2020.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.

Pelantikan jawatan tertinggi KWSP itu wajar dilakukan segera susulan ia memberi kesan kepada sentimen pelabur di pasaran saham.

Ini memandangkan pelaburan ekuiti kekal sebagai penyumbang utama kepada KWSP merangkumi 63 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, jumlah pendapatan pelaburan KWSP adalah sebanyak RM47.86 bilion, meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.

Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Malah, KWSP antara entiti utama negara yang perlu diterajui oleh tokoh yang diyakini kerana ia adalah dana persaraan tertua di dunia, organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.

Ia juga mempunyai 15.99 juta ahli sehingga 30 September 2023 dengan 8.53 juta adalah ahli aktif, mewakili 50.4 peratus daripada 16.93 juta tenaga buruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 3:23 PM