AKMAL Fikri tekun membersihkan ibunya, Monisa di kediaman mereka. FOTO Mary Victoria Dass
AKMAL Fikri tekun membersihkan ibunya, Monisa di kediaman mereka. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Ketika kami dua beradik masih kecil, ibu banyak berkorban dan sentiasa memberi kami semangat supaya tidak mudah putus asa walaupun pada masa itu kami pernah tiada tempat tinggal dan makanan," kata Akmal Fikri Jaafar, 16, ketika ditemui di Kampung Sri Jaya, Kampung Pasir di sini, hari ini.

Akmal Fikri berkata, kini menjadi gilirannya untuk membalas jasa ibunya, Monisa Pariman, 49, yang menderita kanser paru-paru tahap empat.

Menurutnya, buat masa ini dia menghabiskan sepenuh masanya untuk menjaga ibu selain melakukan kerja rumah manakala abangnya, Amirul, 18, yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula keluar bekerja di kilang tauhu bagi mencari rezeki.

Katanya, dia yang juga pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Insyirah Taman Tampoi Utama tidak dapat hadir ke sekolah sejak awal bulan ini kerana memberi perhatian menjaga ibunya.

"Saya hanya dapat tidur-tidur ayam pada sebelah malam kerana ibu kerap mengalami sesak nafas dan ketika itu dia perlu bergantung kepada mesin oksigen.

"Harapan saya adalah supaya ibu cepat sembuh dan memohon semua mendoakan kesembuhan ibu," katanya.

Akmal Fikri berkata, ibunya yang berasal dari Sabah dan menetap di Johor Bahru kira-kira 10 tahun selepas berpisah dengan bapanya berdepan pelbagai ujian.

Menurutnya, mereka tiga beranak pernah diselamatkan apabila hidup bergelandangan, namun hasil bantuan agensi berkaitan dan masyarakat prihatin akhirnya mereka mampu memulakan kehidupan baharu.

Katanya, malah ibunya juga menyahut cabaran untuk bekerja di beberapa tempat termasuk di kilang, pusat tahfiz dan pusat jagaan sebelum ini demi menyara keluarga.

"Tidak lama selepas abang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Januari lalu, ibu didiagnos mengalami kanser paru-paru tahap empat di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

Akmal berkata, kini keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan bulanan abangnya sebanyak RM1,600.

Menurutnya, keluarganya menanggung sewa rumah RM450 manakala kos sewa mesin oksigen iaitu RM500 bulanan dibiaya oleh pengurusan maahad.

"Kami masih kekurangan beberapa keperluan bagi ibu termasuk kerusi roda dan mangkuk tandas mudah alih dan diharap ada pihak sanggup memberi sumbangan berkenaan.

Sementara itu, Pengasas Maahad Tahfiz Sains Al-Insyirah Taman Tampoi Utama, Mohamad Halimi Kolan berkata, nasib keluarga berkenaan umpama jatuh ditimpa tangga.

"Mereka juga masih belum memohon bantuan daripada agensi berkaitan," katanya ketika mengunjungi keluarga itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 4:50 PM