GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), yang kekal sebagai pengeluar kereta bukan nasional utama pada tahun lepas, meraih jualan sebanyak 6,276 unit bagi Toyota dan Lexus pada bulan pertama 2024.

Syarikat turut meluaskan operasinya menerusi perasmian outlet baharu 3S di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada minggu pertama Februari.

Presidennya Datuk Ravindran K dalam kenyataan hari ini berkata, memulakan tahun baharu, UMWT komited melangkaui kenderaan untuk mencipta pengalaman yang memberi kegembiraan dan perkhidmatan lebih baik kepada semua pelanggan.

Beliau berkata UMWT bersedia untuk berkongsi inisiatif baharu selanjutnya pada Februari, menerusi acara Beyond Zero, yang menandakan komitmen kukuh Toyota dalam perjalanan menuju keneutralan karbon menjelang 2050.

UMWT mencapai jumlah jualan tertinggi sebanyak 108,107 unit (Toyota dan Lexus) pada 2023.

Syarikat berkata ia meraih sebanyak 32 peratus bahagian keseluruhan pasaran bagi kenderaan penumpang bukan nasional (Toyota sahaja).

Bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), jenama berkenaan menjual 22,533 unit dengan 19.6 peratus bahagian pasaran bukan nasional, katanya

Mengenai pencapaian UMWT dalam mengekalkan kedudukan utamanya sebagai pengeluar kereta bukan nasional keseluruhan pada 2023, Ravindran berkata keadaan ini mencerminkan dedikasinya untuk menawarkan kenderaan berkualiti tinggi dan proses pemilikan yang tiada tandingan.

"Kami menghargai sambutan positif daripada pasaran dan pelanggan kami, mengiktiraf rangkaian model kami yang pelbagai dan pendekatan berpandangan jauh.

"Memandangkan kami terus menetapkan penanda aras baharu, fokus kami kekal untuk menawarkan mobiliti yang bermanfaat dan inovatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 5:18 PM