TOYOTA Yaris Baharu dibuka untuk tempahan.
TOYOTA Yaris Baharu dibuka untuk tempahan.
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor (UMWT) membuka tempahan untuk model Toyota Yaris Baharu dengan penampilan lebih segar dan ciri keselamatan dipertingkat.

Presidennya Ravindran K berkata model ini dibina untuk melangkaui standard sedia ada serta lebih dinamik dengan karisma personaliti tersendiri.

"Sesuai gaya muda dan ranggi, Yaris menerima pembaharuan terutama pada bahagian hdapan yang direka semula untuk tampil lebih agresif," katanya melalui siaran media hari ini.

Antara perbezaan ketara ialah bampar hadapan serba baharu dengan aerokit dan gril berbeza, lampu utama "triple bezel" LED sepenuhnya dengan fungsi "follow-me-home" termasuk lampu nyalaan siang (DRL) kedudukan baru juga ciri sama terdapat pada model Corolla Serba Baharu dan Camry.

Ciri Toyota Safety Sense (TSS) ditambah dengan fungsi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) bagi melengkapi elemen keleselamatan sedia ada yang terdapat pada model sebelum ini.

Untuk ketersambungan dan hiburan ia kini dilengkapi skrin sesentuh tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta Sistem Telematik Kenderaan (VTS).

Terdapat warna baharu Putih Mutiara Platinum selain pilihan sedia ada iaitu Merah Mica Metalik dan Perak Metalik.

Toyota Yaris Baharu ditawatkan dalam tiga varian iaitu J, E dan G dan sudah boleh ditempah mulai hari ini dengan anggaran harga daripada RM72,000 sehingga RM86,000. Harga rasmi akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Toyota Yaris mula dilancarkan untuk pasaran tempatan pada April 2019 adalah kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan menjadi pendahulu kenderaan 'hatchback' segmen bukan nasional sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 3:54 PM