PENGURUSAN kanan Yayasan Bank Rakyat pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023.
PENGURUSAN kanan Yayasan Bank Rakyat pada Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023.

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) melakar kejayaan dengan menerima Anugerah Foundation of The Year bagi kategori perbankan dalam Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023.

Pengiktirafan itu diberikan hasil inisiatif YBR dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendidikan serta program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun lalu bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Penyampaian anugerah yang diadakan di Kuala Lumpur disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Syaiful Rizal Abdul Ghani selaku Pengurus Besar YBR hadir bagi menerima anugerah berkenaan.

Menurut Syaiful Rizal, anugerah itu adalah satu pencapaian dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun lalu dan diharap menjadi pembakar semangat untuk YBR terus kekal membantu masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

"Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat YBR kerana terpilih dan bersaing dengan yayasan yang lain.

"Kami akan melipat gandakan usaha dan strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 7:20 AM