SYAIFUL Rizal (dua dari kanan) dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman bersama kanak-kanak di Tabika Kemas. FOTO Ihsan pembaca.
SYAIFUL Rizal (dua dari kanan) dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman bersama kanak-kanak di Tabika Kemas. FOTO Ihsan pembaca.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbangkan 850 set buku bacaan kanak-kanak kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor bernilai RM40,000 sebagai sumber bacaan.

Prihatin dengan pembangunan pendidikan kanak-kanak, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, buku bacaan kanak-kanak berjudul Nuri berkisarkan persahabatan si cilik bernama Siti dan burung peliharaannya Nuri dalam mampu menerapkan pelbagai nilai murni dalam kehidupan seharian selain diselitkan elemen pembelajaran seperti sains, alam semula jadi dan budaya menabung.

Beliau berkata, penghasilan buku bacaan itu adalah kesinambungan daripada siri animasi 'Nuri The Series' yang dibangunkan oleh penuntut Diploma Kemahiran di bawah tajaan YBR yang dibiayai sepenuhnya oleh yayasan itu dalam membuka peluang pekerjaan dan pendedahan kepada mereka selepas menamatkan pengajian.

"Sumbangan buku ini adalah salah satu inisiatif YBR dalam menyumbang kepada masyarakat dan diharap buku ini nanti bukan hanya bermanfaat kepada kanak-kanak di institusi berkenaan malah dijadikan sebagai salah satu material dalam sesi pengajaran guru," katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, selain misi membantu meningkatkan sosioekonomi melalui pendidikan, beliau turut berpendapat inisiatif seperti ini adalah sebahagian termasuk dalam kategori asnaf fisabilillah iaitu sama ada jihad dengan tangan, tenaga, harta dan lisan di mana YBR memfokuskan melalui bantuan pendidikan dan pembelajaran.

Pada 2022, Yayasan Bank Rakyat memperuntukkan RM900,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 4:39 PM