GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berada pada paras 3.0 peratus selepas kenaikan 25 mata asas yang diputuskan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 Mei 2023, dijangka kekal sepanjang tahun ini.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar siling dan lantai OPR juga dinaikkan masing-masing kepada 3.25 dan 2.75 peratus.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjangkakan bahawa BNM akan menaikkan OPR untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah sejajar dengan momentum pertumbuhan ekonomi.

"Setakat ini, penunjuk domestik adalah baik dengan jualan dalam sektor automotif mencatatkan pertumbuhan yang mampan semasa suku pertama 2023, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi industri automotif merekodkan 19.5 peratus pertumbuhan tahun ke tahun kepada 190,959 unit semasa tiga bulan pertama tahun ini, berbanding pengembangan 7.2 peratus pada suku sebelumnya.

"Oleh demikian, kami percaya OPR mungkin mencapai kadar terminal dan BNM akan cenderung untuk mengekalkan kadar semasa pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, keputusan BNM ini adalah sesuatu yang di luar jangka, namun ia bukanlah sesuatu yang begitu asing kerana ramai beranggapan bahawa OPR ini bakal dinaikkan pada Julai nanti.

"Tanggapan ini berikutan momentum pertumbuhan ekonomi domestik terutamanya yang berkaitan dengan perbelanjaan swasta serta peningkatan dalam aktiviti sektor berkaitan pelancongan seperti industri penerbangan, hotel dan peruncitan.

"Justeru, peningkatan OPR adalah sesuatu yang wajar kerana ekonomi negara sudah pulih dan pasaran buruh juga mencapai guna tenaga penuh," katanya.

Beliau berkata, selain itu, BNM juga dilihat dapat meningkatkan ruang dasar supaya mereka boleh bertindak dengan lebih fleksibel pada masa akan datang, sekiranya terdapat keperluan untuk mengurangkan OPR terbabit.

"Perkara ini adalah relevan terutamanya dalam konteks prospek pertumbuhan ekonomi global yang dijangka perlahan pada masa akan datang nanti.

"Oleh itu, kesiapsiagaan BNM ini seharusnya dapat memberi keyakinan bahawa ekonomi negara kita ditadbir dengan cermat dan bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 3:26 PM