Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah pembendungan yang ketat di China.

Bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Katanya, tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

"Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.

"Pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

"Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit," katanya.

Pada masa hadapan, BNM berkata, pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah pengurusan pandemik di China.

Ia berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM menjelaskan, peralihan ke fasa endemik dan langkah dasar telah menyumbang kepada prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku kedua 2022.

Pada masa hadapan, ia berkata, penunjuk menunjukkan pertumbuhan yang berterusan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.

"Keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan terus positif, dengan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh terus berkurang.

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan sektor berkaitan pelancongan. Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun," katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

Ia berkata, meskipun volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan Malaysia.

Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 3:21 PM