Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Parlimen hari ini.
FOTO BERNAMA
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Parlimen hari ini.
FOTO BERNAMA
Mohd Rozaimy Ridzuan

Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini memberi amaran ekonomi global berdepan kemelesetan tahun ini susulan tindakan bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah, selain pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Harga komoditi dunia yang tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan menyesakkan lagi kadar inflasi dunia. Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka terkena tempiasnya dan memaksa kerajaan sentiasa responsif dan bersedia untuk mengurangkan dampak kesan buruk ekonomi itu.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu dilihat sebagai komprehensif kerana mencakupi seluruh lapisan masyarakat berlandaskan konsep Malaysia Madani. Belanjawan itu juga nampaknya memenuhi kehendak beberapa dasar awam seperti Dasar Agihan, Dasar Agihan Semula, Dasar Kawal Selia dan Dasar Keselamatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjaga kedaulatan negara.

Walaupun negara berhadapan dengan cabaran hutang yang tinggi, Dasar Pengembangan Fiskal digunakan malah peruntukannya lebih besar berbanding jumla h keseluruhan peruntukan belanjawan kerajaan yang telah dibentangkan pada bulan Oktober tahun lalu susulan langkah penjimatan operasi kerajaan, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam kutipan hasil kerajaan. Semua ini dilakukan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat bagi meredakan masalah kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan makanan.

Penambahan dari segi pendapatan kerajaan menerusi peningkatan cukai pendapatan individu bagi golongan orang kaya, pengenalan semula cukai barangan mewah dan penjimatan daripada pembatalan projek tebatan banjir yang dilakukan secara rundingan terus diharapkan mampu menstabilkan antara pendapatan dan perbelanjaan kerajaan. Pendapatan kerajaan juga dijangka meningkat menerusi suntikan pelaburan asing ke dalam negara yang dikemudi oleh Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, ada yang mengatakan bajet ini adalah manifesto kerajaan untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri. Ini hanyalah persepsi dan agak sukar untuk kita menilai sama ada perkara itu benar atau tidak. Namun, tidak menjadi masalah sekiranya perkara itu berlaku selagi asas tindakan kerajaan adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat yang berlandaskan konsep ihsan. Memang lumrah buat kerajaan di dunia untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan keabsahan kerajaan melalui cara sebegitu selagi ia tidak melanggar Perlembagaan negara. Namun, rakyat juga akan menilai bagaimana peruntukan yang dicatatkan di atas kertas itu diterjemahkan dalam tindakan yang memungkinkan rakyat membuat pilihan di peti undi.

Terdapat pembaharuan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan dari segi keutamaan, pendekatan dan strategi walaupun beberapa elemen yang terdapat dalam bajet yang dibentangkan Oktober tahun lalu masih dikekalkan. Namun, selagi bajet ini dicipta oleh manusia, selagi itulah terdapat kekurangan pada beberapa perkara dan itulah lumrah limitasi dasar awam yang kita harus terima. Apa yang lebih penting, penambahbaikan telah dijalankan dan tumpuan yang khusus perlu diberikan kepada pemantauan perlaksanaan belanjawan ini agar ketirisan dapat dielakkan dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan secara optimum.

Jumaat lalu, Perdana Menteri juga ada menegaskan bahawa kerajaan belum bercadang untuk meperkenalkan semula cukai kepenggunaan berasas luas seperti Goods and Services Tax (GST). Keputusan tersebut dilihat begitu rasional memandangkan keadaan ekonomi semasa negara belum lagi membenarkan kerajaan untuk berbuat sedemikian. Selain itu, keputusan kerajaan memperkenalkan dan meningkatkan kadar pencukaian bagi golongan kaya dilihat perlu bagi meningkatkan pendapatan negara dan pada masa sama membantu kerajaan untuk mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

Tatkala dunia mengalami perubahan iklim yang drastik, kesiapsiagaan dari segi aset kerajaan dan para penduduk amat dituntut agar impak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh dapat dikurangkan. Peruntukan yang diberikan kepada Nadma dan agensi kerajaan yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) harus dipandang sebagai satu perkara yang amat baik agar prestasi agensi-agensi ini dapat dipertingkatkan bagi membantu menguruskan perihal bencana dalam negara. Sekiranya perkara ini tidak dilakukan, agensi kerajaan akan berdepan dengan masalah kekurangan aset bagi misi membantu dan menyelamatkan mangsa bencana.

Selain itu, berlaku peningkatan dalam peruntukan perbelanjaan pembangunan. Pembelanjaan itu adalah suatu bentuk pelaburan buat negara untuk kesejahteraan ekonomi dan sosial terutamanya dari segi peluang pekerjaan rakyat. Ia juga dirasakan perlu agar jurang pembangunan antara wilayah dapat dikurangkan dan masalah asas seperti air, elektrik, sektor pendidikan dan kesihatan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sesuai. Selain itu, peningkatan peruntukan itu diharapkan dapat membasmi kemiskinan terutamanya kemiskinan tegar, baik pulih prasarana dan kemudahan desa.

Apa yang penting, kementerian dan agensi kerajaan perlu menggunakan peruntukan yang diagihkan dengan baik dan cekap. Kerenah birokrasi yang tidak ada keperluan perlu diperhalusi semula agar keyakinan pelabur asing dapat dikembalikan dan mereka akan terpanggil semula untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan terbaik.

Sudah pasti, kerajaan meneliti projek pembangunan berlandaskan keutamaan supaya ia memberi impak positif kepada rakyat. Ini menuntut kerjasama padu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan agar keterangkuman yang dibayangkan selama ini dapat direalisasikan.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 6:00 AM